Kelantan buka pusat kuarantin ke 14 hari ini, setelah semua katil penuh

Kelantan buka pusat kuarantin ke 14 hari ini, setelah semua katil penuh

Kes positif Covid-19 yang melonjak di Kelantan sejak dua minggu kebelakangan ini menyebabkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di negeri ini penuh, dengan kadar penggunaan katil 100 peratus.

Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob berkata, PKRC yang ada tidak mencukupi untuk menampung jumlah pesakit harian.

Katanya, antara PKRC yang kadar penggunaan 100 peratus termasuk Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK) di Pengkalan Chepa dan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

“Kelantan terpaksa membuka PKRC yang ke-14 di Institut Latihan Perindustrian di Pengkalan Chepa hari ini.

“Kita menggunakan asrama pelajar lelaki dan wanita di PKRC ILP yang boleh menampung 350 pesakit pada satu-satu masa.

“Memandangkan fasiliti terutama katil dan kelengkapan lain sudah ada, jadi kita masukkan 40 pesakit dahulu bermula hari ini,” katanya dihubungi.

Beliau berkata, jika jumlah kes harian terus meningkat, kemungkinan PKRC yang ada tidak mampu untuk menampung pesakit.

Dr Azman berharap penduduk Kelantan sama-sama menjaga diri dengan patuh prosedur operasi standard (SOP) bagi menurunkan kes harian Covid-19.

Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/05/711571/pkrc-di-kelantan-penuh-harap-kes-harian-covid-19-turun

COMMENTS