Kami solid bersama Anwar – Khalid

Kami solid bersama Anwar – Khalid

Pemimpin Amanah Khalid Samad berkata tiada sebarang perselisihan dalam kalangan ahli parti itu kerana semua ahli Parlimen Amanah menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Pengarah komunikasi Amanah itu mengulas laporan FMT sebelum ini yang menyebut bahawa perselisihan semakin meningkat antara mereka yang menyokong Dr Mahathir Mohamad dan Anwar sebagai perdana menteri berikutnya.

Sumber dalaman parti itu memberitahu FMT bahawa akar umbi ketika ini berbelah bagi antara pemimpin yang mempunyai pilihan berlainan berhubung pemimpin negara ini.

“Laporan yang mengatakan seolah olah pimpinan Amanah berpecah adalah tidak tepat dan perlu diperbetulkan,” kata Khalid pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pihak luar cuba melaga-lagakan ahli parti antara satu sama lain dan menambah bahawa adalah tidak adil untuk berbuat begitu.

Khalid juga berkata Amanah tidak bersetuju untuk menyelar atau menyerang pemimpin parti lain seperti pengerusi Pejuang Mahathir dan presiden Warisan Shafie Apdal.

Sebaliknya, beliau berkata, parti berkenaan akan berusaha mendapatkan sokongan Mahathir dan Shafie supaya bersatu pada 25 Nov semasa sesi pengundian Belanjawan 2021.

“Kita beranggapan bahawa (parti) pembangkang berada dalam bot yang sama. Perlu ada kesatuan dalam kalangan (parti) pembangkang dalam usaha menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/19/tiada-perselisihan-dalam-kalangan-ahli-parlimen-amanah-kami-sokong-anwar-kata-khalid/

COMMENTS