Kalah undi percaya, MP Pas ucap tahniah kepada Dap

Kalah undi percaya, MP Pas ucap tahniah kepada Dap

Kegagalan Ahmad Faizal Azumu mendapat sokongan mencukupi bagi membolehkannya terus berkhidmat sebagai menteri besar disambut dengan kenyataan sinis daripada seorang pemimpin Pemuda PAS.

Memberikan reaksi segera kepada perkembangan mengejutkan di DUN Perak tengah hari ini, Ahmad Fadhli Shaari berkata kerajaan Perak sekali lagi bertukar teraju.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu kemudian mengucapkan ‘tahniah’ kepada DAP Perak dan parti lain yang membolehkan Ahmad Faizal Azumu diketepikan daripada jawatan menteri besar.

“Tahniah DAP Perak dan parti-parti yang bekerjasama dengannya. Kerajaan Perak bertukar teraju pula,” tulisnya di Facebook.

Untuk rekod usul percaya kepada Ahmad Faizal dibawa oleh Adun Umno yang mewakili kawasan Pengkalan Baru, Abd Manaf Hashim. Ia asalnya dibahaskan selepas Ahmad Faizal membentangkan Belanjawan 2021 Perak.

Bagaimanapun dua usul tergempar yang dibawa dua Adun – dengan seorang daripadanya juga wakil Umno, Salbiah Mohamed (Temenggor) – Yang Dipertua DUN Perak Mohamad Zahir Abdul Khalid bersetuju membawa isu berkenaan agar dibentangkan lebih awal.

Dalam undian bagi menentukan sokongan tersebut, 48 Adun menolak memberikan kepercayaan kepada Ahmad Azumu, manakala hanya 10 yang menyokong. Seorang lagi Adun memberikan undi rosak atau berkecuali.

Untuk rekod, Umno memiliki 25 Adun dan PAS pula hanya tiga. Ia bermaksud sebahagian besar – atau mungkin semua – Adun Umno mengundi untuk menolak usul yang dibawa wakil mereka.

Selepas PRU ke-14 pada 2018 lalu, PAS merupakan pembangkang di Perak dan Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan negeri. Bagaimanapun kesan daripada pertukaran kerajaan di Putrajaya, Perak turut menyaksikan PH dijatuhkan melalui tindakan beberapa Adunnya berpaling tadah.

Seorang Adun Amanah, seorang Adun PKR dan dua dari DAP memberikan sokongan kepada PN. Ia menyaksikan PAS menjadi kerajaan dengan pesuruhjayanya dilantik menjadi exco negeri.

Dalam ucapan semasa mengemukakan usul tersebut di DUN Perak tadi Abd Manaf menafikan Umno bekerjasama dengan DAP.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/553806

COMMENTS