Kadar faedah dijangka naik lagi bulan hadapan?

Kadar faedah dijangka naik lagi bulan hadapan?. Bank Negara Malaysia (BNM) berkemungkinan meneruskan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari 2023 bagi mengekang inflasi, demikian kata penganalisis.

Dengan inflasi teras mencecah paras tertinggi baharu sebanyak 4.2 peratus pada November 2022, kebanyakan penganalisis menjangkakan momentum optimis akan berterusan dan mendorong bank pusat menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada bulan depan.

Sekiranya menjadi kenyataan, ia bakal menjadi kenaikan OPR kelima berturut-turut sejak kali pertama pada 11 Mei 2022.

MIDF Research berkata, trend inflasi yang tinggi di Malaysia didorong oleh permintaan pengguna yang kukuh, manakala petunjuk bagi inflasi kos sudah berkurangan sejak kebelakangan ini.

Ia berkata, pasaran pekerjaan mulai meningkat, dengan pertumbuhan guna tenaga melebihi tiga peratus bagi tujuh bulan sejak April 2022, manakala import barangan penggunaan dan jualan perdagangan pengedaran terus berkembang pada kadar dua angka dengan masing-masing sebanyak 21.6 mata dan 15.2 peratus pada Oktober 2022.

Kadar faedah dijangka naik lagi bulan hadapan?

Katanya, aliran inflasi keseluruhan menyederhana walaupun kekal pada 4.0 peratus pada November 2022.

“Dengan momentum yang memberangsangkan ini, kami percaya BNM berkemungkinan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi kepada 3.00 peratus dalam mesyuarat MPC pertama tahun depan pada 23 Januari,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Kenanga Research juga menjangkakan BNM akan menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari 2023 untuk menyelaraskan semula dengan trend pengetatan monetari global dan membendung inflasi teras yang sentiasa tinggi.

Walau bagaimanapun, ia menjangkakan kebarangkalian 50 peratus kenaikan kadar pada paras sama pada Mac 2023 berikutan ketidaktentuan ekonomi global yang semakin meningkat dan potensi kelembapan domestik pada tahun itu.

“Oleh itu, kami jangka kadar terminal adalah sekitar 3.00 peratus hingga 3.25 peratus, selaras dengan purata OPR jangka panjang.

“Selepas itu, kami menjangkakan BNM akan mengekalkannya tidak berubah untuk sepanjang 2023,” katanya.

BNM sudah menaikkan OPR secara kumulatif 100 mata asas kepada 2.75 peratus sejak Mei 2022 berikutan tekanan permintaan yang meningkat di tengah-tengah pemulihan ekonomi domestik yang kukuh dan turun naik tidak menentu yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan.

KAF Investment Bank Bhd berpandangan bahawa BNM belum selesai dengan kitaran meningkat kadar penanda aras pinjaman dan deposit di negara ini.

Ia menjangkakan bank pusat itu akan terus mengetatkan dasar monetarinya dengan OPR meningkat 50 mata asas kepada 3.25 peratus pada separuh pertama 2023 dan dijangka kekal pada paras itu menjelang akhir 2023.

Katanya, jangkaan itu lebih tinggi berbanding 3.00 peratus sebelum ini memandangkan bank pusat berusaha untuk menyediakan penampan dasar yang lebih besar terhadap kesan buruk yang tidak dijangka peristiwa ekonomi dan tekanan inflasi yang lebih tinggi daripada jangkaan.

“BNM dijangka menamatkan kitaran kenaikan kadarnya apabila tanda-tanda pertumbuhan perlahan dalam data ekonomi mula muncul, berkemungkinan pada pertengahan 2023,” katanya.

BACA:

Bella Astillah makin seksi? Ini jawapan tuan badan

Anak dara tukang tebar roti canai, warung jadi tumpuan

Netizen meluat tengok Dai Syed dan isteri kerap tayang gelagat ‘sweet’