Jika tidak pindahkan aset bermasalah, kerugian UJSB jadi kerugian TH

Jika tidak pindahkan aset bermasalah, kerugian UJSB jadi kerugian TH

Heboh UJSB (Urusharta Jamaah Sdn Bhd) sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) rugi bersih RM9.95b. UJSB di bawah Kem. Kewangan diPerbadankan dibuat untuk tujuan pemulihan dan penstrukturan semula TH setelah mengalami masalah defisit parah aset berbanding tanggungan.

TH juga mengalami susut nilai yang tidak direkodkan hampir RM270juta menyebabkan perkiraan hibah atau dividen tidak selari dengan keuntungan sebenar. Defisit aset sebayak RM 4B pada hujung 2017 bertambah kepada RM10B dan sekaligus menjejaskan isu kepatuhan Akta TH 1995 dalam pengeluaran Hibah. Akta menetapkan pengeluaran Hibah perlu memenuhi 2 syarat iaitu, ada untung dan aset tidak boleh rendah daripada tanggungan. Sejak 2014 kedua syarat itu tidak dipatuhi oleh Menteri dan Pengerusi terdahulu.

Saya ambil alih dalam keadaan TH mengalami defisit aset, nilai rosot tidak direkodkan dan pengurusan korporat yang curang. Lebih penting saya ada misi memelihara kepentingan 9 juta pendeposit yang mahukan pulangan dividen yang baik dan pendeposit yang berniat mendaftar sebagai bakal-bakal haji.

Satu pakej penstrukturan semula diusahakan oleh pasukan baru TH dengan komitmen tidak berbelah bagi Menteri bertanggungjawab dan kabinet kerajaan PH. Pendekatannya ialah dengan memindahkan aset sakit TH bernilai RM10B kepada UJSB yang akan menerbitkan sukuk khas untuk langganan TH. Perpindahan aset dinilai dengan harga buku premium sebanyak RM 20B dengan komitmen kerajaan memperuntukkan setiap tahun kepada TH mulai 2020 dalam keadaan gagal menunaikannya kepada UJSB.

Sejarah akan merekodkan betapa pada tahun 2018-2020 kerajaan PH dengan komitmen hampir RM 27.5b telah berjaya memulihkan TH dari ‘pendarahan berterusan” dan bersedia seterusnya untuk kelestarian dan pertumbuhan lebih baik. Semua ini dibuat atas komitmen menjaga nama baik institusi Islam dari dirosakkan oleh kepimpinan TH dan Menteri yang tidak bertanggungjawab sebelum ini.

Seperti syarikat bertujuan khas lain, UJSB adalah mekanisma mengurangkan impak kepada TH melalui pengambil alihan aset sakit untuk dipulihkan dan dilambungkan nilainya. Sementara itu TH berjaya menutup jurang defisit RM10B dan melanggan sukuk diterbitkan oleh UJSB bagi menjana untung untuk imbangi kerugiannya selama ini. Satu ‘deal’ yang terbaik termetrai untuk selamatkan institusi umat Islam di Malaysia dan diiktirafi dunia.

UJSB tidak dijangka buat untung masa terdekat kerana tujuannya adalah khas untuk selamatlan aset TH yang sakit. Seperti Danaharta walaupun pulangan hanya 60 % sejak 1998 ia ditubuhkan, kerajaan berjaya menyelesaikan masalah NPL(non performing loan) yang dihadapi oleh institusi perbankan semasa krisis kewangan 1997.

Malangnya pihak tertentu yang dipandu dengan agenda sempit dan dendam kesumat gagal memahami atau sengaja tidak memahami dalam usaha menjatuhkan kredibiliti saya dan mengukuhkan naratif DAP anti Islam dan anti Melayu.

Setelah isu fitnah TH dijawab oleh saya di parlimen dan diperakui oleh kerajaan hari ini kejayaan pelan pemulihan TH, mereka beralih kepada UJSB pula. Saya telah berdebat dengan mantan Pengerusi TH, DS Azeez Rahim dan ternyata beliau gagal membuktikan saya telah ‘menjual’ TH dan meletakkan TH dalam risiko tinggi. Saya telah membuktikan kecurangan yang berlaku dan ketidakpatuhan pentadbiran korporat yang betul. Hakikat pahit bagi kelompok ini ialah melihat TH kembali pulih!

Bila isu kerugian UJSB menjadi sasaran baru kelompok ini, Menteri Kewangan telah memberikan jawapan yang sama seperti yang saya jelaskan. Sebab itulah UJSB adalah ‘going concern’ dan dijamin oleh kerajaan kerana ia bukan syarikat untuk buat untung tetapi mengendalikan ‘aset sakit’ sebagai AMC (asset management company) bagi mengurangkan impak kerugian.

Berhentilah menyerang TH dan UJSB, bersamalah kita kembalikan maruah umat Islam dengan menentang rasuah dan kecurangan pengurusan. Hentikan projek pembodohan ini!

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Ahli Parlimen Parit Buntar
Naib Presiden AMANAH

Sumber :

COMMENTS