Jho Low mahu bayar RM1.5 bilion kepada kerajaan bagi selesai kes

Jho Low mahu bayar RM1.5 bilion kepada kerajaan bagi selesai kes. Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dipercayai menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut laporan The Edge yang memetik sumber mereka pada Jumaat, kerajaan bagaimanapun telah menolak tawaran tersebut.

Jho Low yang didakwa menyeleweng wang 1MDB, berdepan saman AS$3.78 bilion (kira-kira RM15.85 bilion) yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Jho Low dipercayai diwakili oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam rundingannya dengan kerajaan Malaysia.

Bagaimanapun Mohamed Apandi dilaporkan tidak menjawab pertanyaan The Edge mengenai perkara itu.

Mohamed Apandi adalah individu yang melepaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang salah laku dalam 1MDB pada 2016 semasa beliau berkhidmat sebagai Peguam Negara (AG) di bawah pentadbiran Najib.

Susulan pertukaran kerajaan pada 2018, Najib didakwa menyalahgunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu termasuk Pengerusi Lembaga Penasihat (BOA) 1MDB untuk menerima suapan.

Jho Low mahu bayar RM1.5 bilion kepada kerajaan bagi selesai kes

Beliau juga menghadapi pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM4.3 bilion wang 1MDB.

Sementara perbicaraan bagi pertuduhan itu sedang berjalan, Najib didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 kerana menyalahgunakan kuasanya berhubung kelulusan pinjaman RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) kepada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Beliau juga disabitkan tiga pertuduhan, setiap satu pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya antara 26 Disember 2014 dan 10 Februari 2015.

Sementara itu, peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, meskipun Jho Low merupakan buruan dikehendaki, dengan notis merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya, undang-undang hak asasi membenarkannya untuk dibela dan masih boleh melantik peguam bagi mewakilinya.

“Mana-mana peguam boleh mewakili suspek, sama ada suspek berada dalam atau luar negara. Walaupun orang itu diburu dan bukan di sini (Malaysia), peguam di sini boleh mewakilinya secara ‘in absentia’ iaitu tanpa ketidakhadiran,” katanya.

Tambah Haniff, peguam berkenaan juga tidak diwajibkan untuk memaklumkan pihak berkuasa keberadaan anak guamnya, walaupun beliau mengetahuinya.

Katanya, satu-satunya cara peguam terpaksa membocorkan lokasi anak guam kepada pihak berkuasa adalah sekiranya terdapat maklumat suspek akan melakukan jenayah selanjutnya.

“Jika tidak, apa sahaja isu tertakluk pada keistimewaan, namun setakat Jho Low mengadakan perbincangan untuk berunding dengan kerajaan bagi menyelesaikan saman undang-undangnya, tidak ada salahnya,” katanya.

BACA:

Tidak lagi pertahan, Afdlin kini sokong kelab komedi ditutup kerana sebab ini

Dukung anak sambil buat kerja, tindakan bapa tunggal ini undang simpati ramai