Jemaah Menteri PN beza sikit jumlah berbanding PH, tak perlu kecilkan – Menteri

Jemaah Menteri PN beza sikit jumlah berbanding PH, tak perlu kecilkan – Menteri

Tiada keperluan untuk kerajaan mengurangkan saiz Jemaah Menteri kerana jumlah kementerian ketika ini tidak banyak berbeza dengan jumlah ketika pentadbiran Pakatan Harapan.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Redzuan Yusof pada sesi menjawab ketika sesi perbahasan belanjawan 2021 di peringkat dasar di Dewan Rakyat.

“Saya nak tekankan, Kabinet hari ini bukan 70 tetapi 32. Itu fakta. Jangan kita nak nyatakan fakta yang palsu kerana timbalan menteri bukan ahli Kabinet.

“Saiz Kabinet ketika ini tidak bertambah, jadi tiada keperluan untuk saiz Kabinet dikurangkan kerana hanya berbeza sedikit berbanding PH,” katanya.

Pada 9 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan barisan Jemaah Menteri yang menampilkan 32 menteri. Walaupun disokong 38 timbalan, lazimnya mereka tidak dianggap sebahagian daripada Jemaah Menteri.

Portfolio tenaga, sains, teknologi, alam sekitar, dan perubahan iklim yang pada pentadbiran lepas disatukan bawah satu kementerian dipecahkan kepada 3 menteri iaitu Tuan Ibrahim Tuan Man (alam sekitar), Shamsul Anuar Nasarah (alam sekitar), dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (sains dan teknologi).

Portfolio pendidikan dan pengajian tinggi yang disatukan bawah satu kementerian juga dipecahkan kepada Radzi Jidin (pendidikan) dan Noraini Ahmad (pengajian tinggi).

Pembangkang membidas Jemaah Menteri pentadbiran Perikatan Nasional terlalu besar, termasuk timbalan menteri dan perdana menteri.

Menjawab isu gaji dan elaun yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir Mohamad (Bebas-Langkawi) dan Mukhriz Mahathir (Bebas-Jerlun), Redzuan menegaskan menteri di bawah kerajaan PN sudah pun melaksanakan tanggungjawab mereka dengan tidak mengambil gaji selama 2 bulan.

“Ini bersamaan dengan 25% potongan gaji setahun…kita amat peka dengan situasi ekonomi negara ketika ini dan kita dah laksanakan tanggungjawab kita untuk memotong gaji menteri,” katanya.

Sebelum ini, beberapa wakil rakyat pembangkang mahu gaji dan elaun menteri PN dipotong antara 10% hingga 30% bagi mengurangkan beban kewangan kerajaan ekoran pandemik Covid-19.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/11/23/tak-perlu-kecilkan-jemaah-menteri-beza-sikit-banding-masa-ph-kata-redzuan/

COMMENTS