Isytihar darurat : Kini Amanah yakin Muhyiddin benar-benar hilang majoriti

Isytihar darurat : Kini Amanah yakin Muhyiddin benar-benar hilang majoriti

Kedengaran bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) telah menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong untuk mengistiharkan Darurat atas alasan ancaman Covid-19.

Sekiranya berita ini benar, Parti Amanah Negara (AMANAH) menyatakan bantahan yang sekeras-kerasnya terhadap cadangan tersebut. Hakikatnya tiada keperluan, mengikut pakar-pakar kesihatan awam dan penyakit-penyakit berjangkit, untuk mengistiharkan darurat untuk menangani ancaman Covid-19.

Sebaliknya apa yang diperlukan adalah untuk memperkukuhkan tindakan-tindakan kesihatan awam demi menghadapi gelombang ketiga ini. Apa yang disarankan juga adalah strategi komunikasi yang berkesan dan jelas mengenai semua tindakan yang perlu dilakukan rakyat.

Hakikatnya, cadangan mengistiharkan darurat adalah tindakan politik yang ingin mengambil kesempatan daripada bencana gelombang ketiga Covid-19 dan ini akan hanya menambahkan derita yang sedia dihadapi rakyat.

Mahu tidak mahu pengistiharan darurat akan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan rakyat, ekonomi negara serta menjejaskan imej Malaysia di kacamata pelabur antarabangsa dan masyarakat dunia.

AMANAH berkeyakinan TSMY telah hilang sokongan majoriti dan tindakan ini bertujuan menyelamatkan dirinya daripada terpaksa menghadapi Usul Undi Tidak Percaya di Parlimen.

Beliau juga gusar kemungkinan gagal mendapat sokongan terhadap pembentangan Belanjawan 2021. Sepatutnya TSMY mengakui kehilangan sokongan majoriti dan meletak jawatan.

Ini adalah tindakan yang lebih bermaruah dan bertanggungjawab berbanding pengistiharan darurat. Tindakan meletak jawatan ini akan menyelamatkan negara daripada terjerumus dalam sengketa perebutan kuasa berpanjangan. Peletakan jawatan adalah untuk menyerahkan kepada yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

AMANAH mengharapkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda YDPA akan menolak cadangan TSMY untuk mengistiharkan darurat dan sebaliknya mempertahankan institusi demokrasi berparlimen sekaligus menyelamatkan institusi Raja Berperlembagaan daripada diheret dalam sengketa dan mainan politik pihak berkuasa.

Parti AMANAH Negara

Kuala Lumpur,
24hb Oktober 2020

COMMENTS