Iman Troye akhirnya tampil mohon maaf

Iman Troye akhirnya tampil mohon maaf

Selepas dihujani dengan kecaman hebat, penyanyi Iman Troye akhirnya tampil meminta maaf secara terbuka selepas dituduh tidak sensitif dengan situasi semasa pandemik Covid-19.

Iman atau nama sebenarnya Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 19, mengakui kesalahannya dan memohon maaf atas ketelanjuran ciapan Twitternya baru-baru ini.

Kenyataan ringkas yang dimuat naik Iman dalam Instagramnya hari ini.
“Saya minta maaf dan menyedarinya selepas memuat naik ciapan tersebut. Ciapan tersebut telah mencetuskan salah faham dan saya mengakuinya.

“Perkara itu menunjukkan saya tidak sensitif dan sepatutnya saya menyedarinya,” tulisnya dalam satu perkongsian Instagram hari ini.

Pelantun lagu Teman itu bagaimanapun berkata, dia tidak berniat untuk melukakan hati mana-mana pihak menerusi ciapan tersebut.

“Saya tidak berniat untuk menyakiti mahupun menggores hati mana-mana pihak, terutama petugas barisan hadapan serta mereka yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

“Insya-Allah saya akan belajar daripada kesilapan dan perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” ujarnya.

Gadis yang popular dengan lagu Pejam Celik Hari Raya itu turut berterima kasih kepada semua pihak yang menegur kesilapannya itu.

“Saya mohom maaf. Terima kasih semua yang tegur saya dan akan cuba jadi lebih baik,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, Iman dikcam hebat susulan memuat naik ciapan seperti meraikan jumlah peningkatan kes Covid-19 yang merekodkan angka 6,976 kelmarin.

“Happy 6.9K everyone. Congratulations. (Selamat 6,900 semua. Tahniah.) Harap esok dapat 7,000,” ciapnya.

Susulan ciapan kontrobversi tersebut, Iman juga telah menyahaktif akaun Twitternya.

Sehingga sekarang, namanya masih sohor kini dalam Twitter selepas muncul dalam lebih 37,000 ciapan

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/05/25/iman-troye-akhirnya-minta-maaf/

COMMENTS