Hujan renyai iringi pengebumian Tan Sri Harussani

Hujan renyai iringi pengebumian Tan Sri Harussani

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, 82, selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya kira-kira jam 6.20 petang pada Ahad.

Sebelum jenazah tiba, hujan renyai mula membasahi kawasan sekitar tanah perkuburan berkenaan.

Pada jam 5.55 petang, jenazah Allahyarham dibawa keluar dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),menuju ke tanah perkuburan di sini sambil diiringi ahli keluarga.

Petugas media dan orang ramai hanya dibenar untuk melihat upacara pengebumian tersebut dari jarak kira-kira 200 meter dari tanah perkuburan dengan kawalan ketat anggota polis.

Turut kelihatan di tanah perkuburan tersebut, Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim.

Jenazah dikebumikan oleh beberapa individu yang berpakaian alat pelindung peribadi (PPE).

Sementara itu, Jabatan Mufti Perak menganjurkan solat jenazah ghaib di rumah masing-masing selepas solat Maghrib pada Ahad.

Terdahulu Harussani meninggal dunia di HRPB di sini pada jam 2.45 petang pada Ahad.

Allahyarham yang disahkan positif Covid-19 pada 11 Mei lalu dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HRPB berikutan memerlukan bantuan oksigen untuk bernafas.

Harussani, 82, dilahirkan pada 8 April 1939 di Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang, Parit Buntar. Beliau meninggalkan seorang isteri Puan Sri Ainon Abdul Ghani dan empat orang anak.

Beliau mula dilantik sebagai Mufti Perak pada tahun 1985 dan merupakan antara Mufti Perak yang paling lama berkhidmat di negeri ini.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau termasuklah Pengerusi Jawatankuasa Penapisan Bahan-Bahan Terbitan Berunsur Islam, Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Teks Al-Quran dan Ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.

Di peringkat negeri pula, beliau pernah dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Syariah Negeri Perak, Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak, Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak dan beberapa lagi jawatan lain.

Sepanjang perkhidmatan, Harussani telah menghasilkan beberapa kertas kerja, buku dan risalah berkaitan agama Islam.

Pada 23 Ogos 2020, Allahyarham dimasukkan ke sebuah hospital swasta selepas diserang angin ahmar.

Bagaimanapun pada 19 Mei lalu, Harussani disahkan positif Covid-19 dan dirawat di Hospital Raja Permasuri Bainun (HRPB).

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/141361/BERITA/Semasa/Hujan-renyai-iringi-pengebumian-Tan-Sri-Harussani

COMMENTS