Harga telur jatuh merudum, puncanya kerana Singapura buat hal

Harga telur jatuh merudum, puncanya kerana Singapura buat hal

Tindakan Singapura mengarahkan empat pengimport menarik balik pasaran telur dari sebuah ladang di negara ini menyebabkan harganya merudum ekoran wujud lebihan.

Keadaan itu membimbangkan penternak memandangkan harga telur menjadi terlalu murah pada masa ini ekoran pengeluaran berlebihan dari beberapa ladang pengeluar utama.

Sehubungan itu, Timbalan Pengerusi Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia, Lee Yoon Yeau meminta kerajaan campur tangan bagi mengimbangi permintaan dan penawaran dalam kalangan penduduk di negara ini.

“Penggunaan telur dalam kalangan rakyat Malaysia tidak seimbang dengan pengeluaran. Untuk pasaran tempatan, kita hasilkan kira-kira 30 juta sehari dan keperluan adalah kira-kira 26 juta biji.

“Manakala untuk eksport ke Singapura pula lima juta biji. Tindakan menarik balik pasaran menyebabkan ada lebihan telur kira-kira dua juta. Jadi kerajaan perlu campur tangan agar kuantiti pengeluaran ditetapkan dan tidak melebihi keperluan harian,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Singapura sebelum ini mengarahkan empat pengimport menarik balik pasaran telur yang dihasilkan di Lay Hong Berhad Layer Farm Jeram di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.

Arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk berkenaan yang boleh menyebabkan penyakit jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.

Dalam pada itu, Yoon Yeau berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan sama ada bekalan telur mencukupi atau tidak pada musim perayaan dan bulan Ramadan nanti sekiranya keadaan itu berterusan.

“Dengan peningkatan harga dedak dan peningkatan kos pengeluaran, kita jangka ada syarikat syarikat kecil dan sederhana (SME) akan tutup nanti.

“Ini menyebabkan pengeluaran telur pada musim perayaan terganggu. Tambahan pula dengan peningkatan kos dedak,” jelasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusoff Abdul Rahman berkata, kerajaan perlu menarik balik semua stok telur dari syarikat terbabit di pasaran tempatan sekiranya terbukti mengandungi bakteria berkenaan.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/berita/2021/03/harga-telur-merudum/?utm_source=rss&utm_medium=rss&utm_campaign=harga-telur-merudum

COMMENTS