Harap anak ditemui, bapa laungkan azan

Harap anak ditemui, bapa laungkan azan. “Selepas anak beritahu adiknya tenggelam dalam air, saya terus terjun tetapi arus deras menyebabkan saya tidak boleh berada lama dalam air.

“Beberapa kali saya terjun tetapi gagal menemui anak saya sebelum penduduk berhampiran tempat kejadian menghubungi bomba,” kata Sobre Ramli, 33, bapa kepada Muhammad Ijaz, kanak-kanak berusia tiga tahun yang dikhuatiri lemas di tali air Kampung Kebor Besar, di sini, 4 petang tadi.

Sobre yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di bandar ini, turut melaungkan azan sebagai usaha membantu pasukan Bomba dan Penyelamat mencari kanak-kanak terbabit yang juga anak kedua daripada tiga beradik.

Katanya, dia membawa mangsa bersama dua lagi anaknya, Muhammad Shakir Wafiudin, lapan tahun dan Muhammad Shafiq Arshad berusia satu tahun ke lokasi berkenaan sebelum menghantar mereka ke tempat dia belajar mengaji di kampung berkenaan.

“Sebelum menghantar dua anak ke kelas mengaji selepas Asar, saya bawa mereka ke sini (lokasi kejadian) untuk melihat air dan tidak sangka pula kejadian ini berlaku,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Harap anak ditemui, bapa laungkan azan

Dia yang tinggal di Kampung Telari kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian berkata, sebelum itu dua mengambil tiga anaknya itu di rumah mentua yang menjaga mereka ketika dia bersama isteri, Nurul Ain Bakri, 33, keluar bekerja di tempat sama (IPT).

“Saya reda sekiranya anak saya ditemui sudah tiada. Apa yang kami harapkan anak saya ditemui,” katanya.

Bapa saudara mangsa, Muhammad Suhaimi Bakri, 28, berkata, dia tiba di lokasi kejadian sebaik dihubungi abang ipar memberitahu anaknya terjatuh ke dalam tali air.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia terus terjun di lokasi kanak-kanak terbabit jatuh namun gagal kerana mendakwa arus sangat laju.

“Air di kawasan berkenaan sangat deras dan saya percaya anak saudara masih berada di bawah jambatan,” katanya ditemui di lokasi kejadian

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Mazimi Mohamad, berkata pihaknya menggerakkan anggota seramai 23 orang ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat jam 4.28 petang.

Katanya, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) dilakukan dengan kekuatan anggota seramai 54 orang termasuk polis, Rela, JPKK dan penduduk kampung.

“Arus deras dengan kedalaman air sedalam enam meter memberi sedikit kesukaran dalam operasi SAR selain keadaan dasar bawah jambatan berkenaan yang dipenuhi pokok dan semak,” katanya di lokasi kejadian.

BACA:

Annuar Musa mula buka keahlian Muafakat Nasional

Guru dipecat kerana tak hormat pelajar sedang solat

Annuar Musa dedah terima pelawaan bertalu-talu dari Pas