Hanya Segelintir pendukung MN dibuai kuasa, kerusi empuk – Tok Mat

Hanya Segelintir pendukung MN dibuai kuasa, kerusi empuk – Tok Mat

Hanya Segelintir pendukung MN dibuai kuasa, kerusi empuk .Sebahagian pendukung Muafakat Nasional (MN) kini cenderung melihat Perikatan Nasional (PN) sebagai jalan pintas untuk berkuasa sehingga melupakan agenda perpaduan ummah malah penyatuan merentasi politik telah hilang dalam jati diri masing-masing.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, hal ini kerana apabila terdapat dalam kalangan mereka mula dibuai kerusi empuk dan merasai keenakan tampuk kuasa hingga secara perlahan-lahan melupakan semangat MN sehingga seolah-olah semua masalah dan kepentingan Melayu-Islam telah selamat dalam dakapan PN.

Beliau menjelaskan, ketika MN ditubuhkan, UMNO sangat jelas dengan tujuan kewujudannya iaitu mempertemukan dua parti Melayu bersama Pas sekali gus menjadi wadah penyatuan dan kesatuan di atas sikap kejujuran dan keikhlasan.

“Wadah ini harus menjangkau politik. Ia perlu menjadi medan segala kepentingan Melayu dan Islam dibincangkan dan dirumuskan. Oleh kerana itu, UMNO sedari awal tidak mahu ia didaftarkan sebagai sebuah perikatan politik walaupun pelbagai pihak dalam UMNO dan Pas mendesak ke arah itu.

“Bagi UMNO, biarlah MN menjadi wadah yang boleh memayungi semua, bukan sekadar kepentingan politik Pas dan UMNO. Apatah lagi apabila ideologi dan pendekatan kedua-dua parti ini sangat berlainan.

Segelintir

“Yang jelas UMNO tidak pernah membelakang dan meninggalkan MN. Sedikit demi sedikit, dengan segala daya yang ada, MN ini cuba UMNO kukuhkan daripada segenap aspek. Tetapi, sebaik PN terbentuk, MN sudah tidak lagi berseri, sudah tidak ada penarik dan seperti sudah tidak ada erti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan Pas menolak gagasan MN yang terbelenggu dengan pembabitan hanya UMNO dan parti itu sahaja, malah juga menolak fahaman menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib disertai oleh gagasan lebih besar iaitu PN.

Dalam pada itu, Mohamad kemudian menegaskan perpaduan ummah amat penting, tetapi seharusnya diperjuangkan secara berterusan bukannya bermusim kerana ianya mesti diusaha dan dijayakan sepanjang masa tidak semata-mata ketika pilihan raya dan menguasai Putrajaya.

Justeru itu beliau menjelaskan, muafakat MN juga harus praktikal dan realistik memandangkan UMNO adalah parti politik dan bukan pergerakan sivil atau dakwah sebaliknya merupakan instrumen orang Melayu untuk mengurus negara.

“Ia adalah parti teras BN dengan agenda kepelbagaian budaya dan ia mempunyai kepentingan politik tersendiri. Seperti juga Pas, sebagai parti politik dengan perjuangan, ideologi dan kemahuan tersendiri.

“Oleh kerana itu UMNO tidak pernah mengajak Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR mahupun Parti Pesaka Bumiputera Bersatu di Sarawak untuk menyertai MN kerana kita realistik dan memahami sejarah Pas dengan Amanah. UMNO juga menghargai kelainan PKR dan PBB.

“Maka demikianlah yang berlaku dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Pas telah memilih PN dan UMNO menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan sedikit terluka.

“Hal ini kerana UMNO sejak awal faham kerana tidak boleh meletakkan MN sebagai penghalang kerjasama politik antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Pas pula tidak boleh menggunakan MN untuk memaksa UMNO menerima Bersatu kerana kami adalah seteru politik yang nyata,” jelas beliau.

Namun Mohamad berkata, perkembangan itu tidak bermakna MN akan ditinggalkan dan sudah tidak relevan dengan Pas boleh teruslah kerjasama dengan PN dan UMNO pula di dalam BN, tetapi jika ada kemaslahatan ummah yang memerlukan kedua-dua parti bertemu dan berbincang, maka MN harus menjadi platform perkara tersebut.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kesatuan antara UMNO dan Pas melalui MN pula bukanlah bermakna orang Melayu telah bersatu dan ummah menjadi kuat, malah sebenarnya perpaduan Melayu sebenarnya tidak berpecah dengan teruk.

Kata beliau, hal ini apabila terdapat puluhan juta orang Melayu di luar sana tidak pun menganggotai UMNO atau Pas tetapi tidak bermakna mereka tidak mementingkan perpaduan dan masa depan ummah ini.

“Mereka sekadar mempunyai cita rasa dan cara masing-masing dalam politik. Yang demikian itu, harus kita faham dan hormat.

“Yang paling penting ialah kepentingan mereka diuruskan melalui wadah politik yang pelbagai, dengan cara yang tidak merugikan dan UMNO memilih untuk melakukannya melalui BN kerana telah lebih enam dekad, itulah caranya yang UMNO rasa terbaik.

“Sesungguhnya, perpaduan ummah bukan hanya perpaduan antara UMNO, Pas, dan Bersatu. Ia merangkumi permuafakatan semua yang merentas logo, bendera dan parti. Biar rambut kita beraneka warna, yang penting, hati kita pada bangsa dan agama,” jelas Mohamad.

BACA: Restoran tular siakap “Kayangan” tetap diserbu pelanggan luar

COMMENTS