Hanya kerana lambat masak rendang ayam, isteri kena tampar dan ludah

Hanya kerana lambat masak rendang ayam, isteri kena tampar dan ludah

Seorang wanita ditampar di pipi oleh suaminya hanya kerana lewat memasak rendang ayam dalam kejadian di Jalan Pinang, Kampung Melayu, di sini, pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10.30 pagi di rumah pasangan suami isteri yang berusia 66 dan 67 tahun itu, lapor Sinar Harian.

“Siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran di antara mangsa dan suspek berpunca daripada mangsa yang lambat memasak rendang ayam.

“Semasa pertengkaran, mangsa telah ditampar di pipi dan pertengkaran berlaku hingga ke dalam bilik tidur,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, suspek seorang pesara berusia 67 tahun itu kemudiannya bertindak duduk di atas badan mangsa sebelum meludah muka mangsa.

“Suspek kemudiannya mahu mencekik mangsa tetapi mangsa telah melawan dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan kedua-dua jatuh daripada katil.

“Akibat dari kejadian tersebut mangsa sakit pada badan dan terdapat lebam pada dagu sebelah kanan tetapi mangsa tidak pasti punca lebam tersebut,” katanya.

Menurutnya, suspek menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan suntikan insulin empat kali sehari.

“Mangsa tinggal bersama suspek dan juga ibu suspek yang lumpuh berusia 86 tahun di rumah yang sama.

“Pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.

Berita Penuh:https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tampar-ludah-muka-isteri-kerana-lambat-masak-rendang-ayam-290591

COMMENTS