Hanya dengan selfie, lelaki ini jadi jutawan

Hanya dengan selfie, lelaki ini jadi jutawan. Penuntut sebuah universiti di Semarang, Indonesia menjadi ‘jutawan’ segera dan tular di media sosial selepas meraih lebih AS$1 juta (kira-kira RM4.4 juta) dengan menjual swafotonya di platform token tidak sepiawai (NFT).

Straits Times melaporkan, Sultan Gustaf Al Ghozali yang menyambung pengajian dalam bidang Sains Komputer, menjual gambar swafotonya yang duduk di hadapan komputer.

Gambar itu diambil hampir setiap hari, sejak lima tahun lalu.

Dia pada mulanya berhasrat untuk menggunakan koleksi hampir 1,000 swafoto untuk mencipta video selang masa (timelapse) untuk hari konvokesyen.

Selepas mengetahui teknologi blockchain, lelaki berusia 22 tahun itu memutuskan untuk memuat naik gambar itu ke platform dagangan NFT OpenSea di bawah tajuk, Ghozali Everyday.

“Saya fikir ia mungkin lucu jika ada yang mengumpul gambar saya.

Hanya dengan selfie, lelaki ini jadi jutawan

“Saya tidak pernah menyangka sesiapa akan mahu membeli swafoto itu, sebab itu saya hanya meletakkan harga pada AS$3 (kira-kira RM13),” kata Sultan Gustaf kepada pemberita di kampus universitinya, Khamis lalu.

Sultan Gustaf mula memuat naik gambar swafotonya, akhir bulan lalu dan jualan meningkat selepas seorang cef selebriti mengambil beberapa gambar minggu lalu dan mempromosikannya di media sosial.

Dalam beberapa hari kemudiannya, lebih daripada 400 individu membeli gambar tanpa ekspresi itu.

“Sejujurnya saya masih tidak berani untuk memberitahu ibu bapa saya, mereka akan tertanya-tanya dari mana saya mendapat wang itu,” katanya yang mempunyai lebih 16,000 pengikut di Twitter.

Pemuda itu menyimpan impian untuk membuka studio animasinya sendiri suatu hari nanti dan merancang untuk melabur wang selain terus mengambil swafoto setiap hari, sehingga tamat pengajian.

Dalam mesej kepada pelanggannya, Sultan Gustaf berkata, pembeli bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu dengan swafotonya, kecuali menyalahgunakannya.

BACA:

Buat pesanan main-main di kiosk McD hingga cecah RM17152, ini yang terjadi

Bot tempur TLDM berlanggar waktu demonstrasi, ini bakal terjadi