Hannah Yeoh persoal tiada tindakan terhadap portal muafakatnasional kerana fitnah

Hannah Yeoh persoal tiada tindakan terhadap portal muafakatnasional kerana fitnah

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh meminta Peguam Negara Idrus Harun memberi penjelasan mengapa kes membabitkan portal dalam talian yang memuat naik hantaran berbaur hasutan menggunakan namanya dikategorikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Portal muafakatnasional.net, yang kini tidak lagi aktif, mengaitkan hantaran itu dengan Yeoh pada Jun tahun lalu walaupun dia tidak pernah membuat kenyataan berkenaan.

“Saya ingin pengesahan dan penjelasan dari Peguam Negara mengenai keputusan NFA berkaitan siasatan terhadap pernyataan palsu yang dikaitkan dengan saya,” katanya.

Yeoh berkata, kenyataan palsu itu menimbulkan kemarahan orang ramai, malah dia dipanggil polis pada Jun tahun lalu.

Polis pada mulanya berkata Yeoh membuat kenyataan yang mempunyai “kecenderungan menghasut” namun kemudian mengesahkan hantaran itu tiada kaitan dengan ahli parlimen berkenaan.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata siasatan mendapati hantaran itu diterbitkan oleh muafakatnasional.net.

Sehubungan itu, Yeoh mempersoalkan mengapa tiada tindakan diambil walaupun polis sudah mengenal pasti pelakunya.

“Apakah peguam negara tidak mempertimbangkan kenyataan Ketua Polis Negara ketika membuat keputusan NFA?

“Apakah keputusan peguam negara sesuai dengan undang-undang atau ada sebab yang tidak berkaitan dengan undang-undang?” soalnya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/563414

COMMENTS