Hamid Bador dedah nama calon bakal naik sebagai Ketua Polis Negara selepas beliau bersara

Hamid Bador dedah nama calon bakal naik sebagai Ketua Polis Negara selepas beliau bersara

Timbalan Ketua Polis, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dinamakan sebagai pengganti Tan Sri Abdul Hamid Bador yang bakal bersara tidak lama lagi.

Bagaimanapun keputusan itu tertakluk kepada Perdana Menteri dan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, kata Abdul Hamid.

“Begitulah perancangannya, siapa timbalan akan naik jadi Ketua Polis Negara.

“Namun keputusannya terpulang kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong, sebab jawatan ini memerlukan perkenan Agong,” katanya secara ringkas pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Laman Portal dan Aplikasi Mobile MyBayar Saman.

Acryl Sani dan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Deputi Komisioner Datuk Azisman Alias turut hadir dalam majlis itu.

Abdul Hamid bakal bersara pada 3 Mei ini.

Setakat ini pengganti jawatannya itu masih belum dimuktamadkan.

Sejak akhir-akhir ini timbul pelbagai spekulasi kononnya Abdul Hamid cuba melobi untuk kontraknya disambung.

Bagaimanapun perkara itu telah dinafikan oleh Abdul Hamid kerana beliau sudahpun mempunyai perancangan sendiri apabila pakaian seragam birunya digantung kekal tidak lama lagi.

Abdul Hamid dilantik sebagai Ketua Polis Negara secara kontrak selepas bersara bagi tempoh dua tahun, berkuatkuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021.

Sepanjang perkhidmatannya dalam PDRM, Abdul Hamid pernah memegang pelbagai jawatan pada peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Ketua Cawangan Khas Negeri, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Inteligen Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstremis Luar, Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1, dan Pengarah Cawangan Khas sejak 23 Mei 2018.

Berita penuh : https://malaysiagazette.com/2021/03/25/acryl-sani-bakal-ketua-polis-negara-jika-diperkenan-agong-kpn/

COMMENTS