Hamas Isytihar kemenangan dalam ‘krisis’ yang sengaja dicipta Israel kali ini

Hamas Isytihar kemenangan dalam ‘krisis’ yang sengaja dicipta Israel kali ini

‘Rejim Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kalah besar dalam konfrontasi yang dicipta mereka’.

Kenyataan sinis itu dikeluarkan Hamas yang digelar sebagai pembela penduduk Palestin ketika mengisytiharkan kemenangan dalam perjuangan mereka menentang rejim Zionis yang berterusan membedil Genting Gaza sejak 10 hari lalu.

“Netanyahu ternyata sudah kalah dalam perang ini,” lapor stesen TV, al-Mayadeen memetik kenyataan Timbalan Ketua Gerakan Hamas, Mousa Mohammed Abu Marzook pada Rabu.

Menurutnya, beliau juga menjangkakan gencatan senjata dapat dicapai dalam waktu terdekat.

“Saya rasa proses untuk melaksanakan tempoh bertenang akan berjalan lancar. Jika rejim Zionis berhenti melancarkan serangan ke atas Gaza, kami juga akan berbuat perkara sama.

“Provokatif melampau Israel di Baitulmaqdis dan Sheikh Jarrah telah menyebabkan Briged al-Qassam terpaksa campur tangan dalam konflik terbaharu itu,” tegasnya.

Jelasnya lagi, faktor lain yang mungkin akan menyebabkan rejim Tel Aviv akur dengan pelaksanaan gencatan senjata berikutan negara haram itu kini berdepan serangan dari pelbagai arah.

Sejak minggu lalu, beberapa roket dilancarkan dari Lubnan ke Israel malah gerakan popular di Yemen, Ansarullah juga berikrar untuk membantu Hamas menentang kekejaman rejim Zionis.

Sementara itu, Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC) memuji tindakan nekad Hamas kerana berjuang secara habis-habisan dalam konflik terbaharu itu.

“Hari ini, kita menyaksikan kelahiran Palestin baharu yang bertempur dengan peluru berpandu dan Israel baharu yang sudah tewas serta semakin hilang taring juga telah muncul.

“Perjuangan di Palestin bukan hanya membabitkan Palestin menentang Israel. Tetapi, ia melambangkan simbol perjuangan Muslim menentang keangkuhan dunia,” kata Komander IRGC, Mejar Jeneral Hossein Salami ketika menyertai perhimpunan pro-Palestin di Dataran Imam Hossein di Teheran yang merujuk kepada Barat.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/139513/GLOBAL/Hamas-isytihar-kemenangan

COMMENTS