Hadi dakwa Kerajaan Pusat sengaja beri tekanan kepada negeri Pas

Hadi dakwa Kerajaan Pusat sengaja beri tekanan kepada negeri Pas. Kerajaan pusat didakwa sengaja melakukan tekanan khususnya dalam aspek pentadbiran dan ekonomi terhadap negeri-negeri yang ditadbir Pas.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kerajaan pusat dilihat sentiasa melakukan pelbagai cara untuk menekan kerajaan negeri di bawah pimpinan Pas.

Bagaimanapun katanya, kesemua negeri di bawah parti Islam itu tetap berjaya diuruskan dengan baik menerusi pentadbiran yang berintegriti dan amanah.

“Kerajaan pusat dilihat sentiasa mencari jalan melalui pelbagai kaedah untuk menekan kerajaan negeri di bawah Pas. Sebagai contoh, Pas berjaya mentadbir kerajaan Kelantan dan Terengganu menerusi amalan berjimat cermat.

“Kita juga mengamalkan pentadbiran yang berintegriti dan dengan itu, kita menerima sokongan rakyat selain antara sebab mengapa Pas kekal bertahan. Kita kekal mendapat tempat di hati rakyat.

Hadi dakwa Kerajaan Pusat sengaja beri tekanan kepada negeri Pas

“Bagaimanapun, sebaik kita memerintah Kelantan dan Terengganu, kedua-dua negeri ini disisihkan kerajaan pusat dengan pelbagai tekanan yang diberikan terutamanya dalam aspek pentadbiran dan ekonomi,” katanya selepas menghadiri sesi dialog antara parti komponen Perikatan Nasional (PN) di Ibu pejabat Gerakan Pulau Pinang, di sini pada Isnin.

Abdul Hadi sebelum ini menulis di ruangan Minda Presiden, di Facebook rasminya mendakwa, negeri pimpinan parti itu mengalami kesukaran apabila dihalang dengan pelbagai cara dan penentangan sama ada secara nyata mahupun tersembunyi.

Beliau berkata, Pas mentadbir negeri dengan kuasa yang sangat terbatas dan tindakan Kerajaan Persekutuan itu jelas membelakangi konsep federalisme dan adab demokrasi diamalkan di negara Barat yang menjadi rujukan mereka.

Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, antara campur tangan kerajaan pusat di peringkat negeri yang ditadbir Pas adalah menubuhkan jawatankuasa peringkat kampung-kampung membabitkan kerajaan pusat di Kelantan.

“Selain itu, mereka (kerajaan pusat) juga melambatkan keputusan geran, merampas royalti petroleum, melanggar perjanjian dan Kelantan tidak diberi royalti sehingga sekarang. Inilah contoh campur tangan yang mereka lakukan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai intipati sesi dialog berkenaan, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, banyak isu telah dibincangkan antaranya isu Islamophobia.

Kata beliau, terdapat segelintir pihak yang cuba mencetuskan Islamophobia pada masa ini kerana tidak senang dengan keamanan yang dikecapi negara ini.

“Keadaan masyarakat majmuk yang wujud dan hubungan harmoni antara kaum di negara ini menjadi contoh seluruh dunia. Ini menyebabkan ada pihak yang cuba mencetuskan Islamphobia dan ketegangan.

“Ia sengaja ditimbulkan oleh musuh Islam yang iri hati dengan keamanan yang dikecapi di negara kita,” katanya.

BACA:

Wanita kongsi percutian ke Pulau Bintan, tambang hanya RM151

Bayi lahir bermata satu di Yaman, ini mungkin puncanya