Guru dipecat kerana tak hormat pelajar sedang solat

Guru dipecat kerana tak hormat pelajar sedang solat. Seorang guru di Florida, Amerika Syarikat dipecat selepas tular video menunjukkan tindakan biadapnya mengganggu pelajar Islam yang menunaikan solat.

Portal Insider melaporkan, menerusi video dimuat naik di TikTok, insiden berlaku ketika tiga pelajar lelaki sedang solat di atas sejadah.

Guru terbabit dikatakan masuk, meniup wisel, dan berulang kali menghalang mereka solat di pejabatnya.

“Tunggu, ini di pejabat saya, dan kamu semua melakukan ‘silap mata’ ini?” kata guru itu.

Guru itu kemudian berjalan melalui kumpulan pelajar itu sebelum satu ketika dia dilihat memijak sejadah ketika salah seorang pelajar sedang bersujud.

Guru dipecat kerana tak hormat pelajar sedang solat

Pelajar-pelajar itu tidak mengendahkan guru berkenaan dan terus menunaikan solat.

Video itu sudah meraih lebih 6.5 juta tontonan.

Menurut Local 10 News, insiden itu berlaku di Akademi Franklin, sebuah sekolah di Pembroke Pines, Broward County.

Identiti dan status sebenar guru itu belum dikenal pasti.

Pihak sekolah dalam kenyataan berkata: “Awal hari ini, video TikTok yang sangat membimbangkan dikongsi dengan pasukan kepimpinan kami.

“Rakaman video menunjukkan seorang guru mengganggu pelajar ketika solat.

“Selepas menerima video itu, kepimpinan organisasi dan sekolah mula menyiasat keadaan dengan segera,” kata pihak sekolah dalam satu kenyataan kepada agensi berita.

Dalam kenyataan sama, sekolah menegaskan pihaknya tidak bertolak ansur dengan tingkah laku diskriminasi

“Walaupun kami tidak membincangkan hal kakitangan, kami boleh berkongsi dengan kamu bahawa guru terbabit bukan lagi ahli kakitangan Akademi Franklin,” katanya.

BACA:

Kehilangan Zalina terus cetus misteri

Guna cerek di hotel untuk masak ayam, sekali ini terjadi

Power akak ni, guna Excel je buat lukisan ini