GAPP dedah 6,800 pengusaha bas persiaran tidak mampu bayar ansuran bulanan

GAPP dedah 6,800 pengusaha bas persiaran tidak mampu bayar ansuran bulanan

Pertubuhan Gemilang Agensi Pelancongan dan Pengusaha Bas Malaysia (GAPP Bas Malaysia) mendesak agar tiga cadangannya dimasukkan dalan Belanjawan 2021 yang akan dibentang pada 6 November ini.

Presidennya, Abdul Aziz Ismail Gani berkata cadangan-cadangan itu perlu diberi tumpuan khas kerana industri pelancongan merupakan kedua tertinggi menjana pendapatan kepada negara suatu ketika kini paling terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19.

“Kami nak kerajaan memberi perhatian serius terhadap tuntutan-tuntutan kami. Ini kerana industri pelancongan khususnya pemilik bas persiaran antara yang paling terjejas dalam pandemik Covid-19 ini.

“Tuntutan pertama kami ialah kami nak bank-bank yang diuruskan oleh kerajaan mengambil alih pinjaman kami daripada syarikat-syarikat kredit.

“Ini kerana lebih 6,800 pengusaha bas persiaran di seluruh negara terjejas kerana tidak mampu membayar ansuran bulanan kerana tiada pendapatan dan kebanyakan syarikat kredit tidak memberi pilihan moratorium,” katanya kepada Malaysiakini.

Menghuraikan lanjut, Aziz berkata bahawa buat masa ini pegusaha bas terpaksa mengambil pinjaman daripada syarikat kredit.

“Setahu kami hanya lima syarikat kredit ikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan. Selebihnya, hanya mendaftar syarikat mereka di SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) dan menggunakan Akta Sewa Beli untuk memberikan pinjaman.

“Mereka tidak dipantau oleh mana-mana pihak kerajaan yang mengakibatkan mereka bertindak sesuka hati. Faedah yang dikenakan sangat tinggi. Tiada pelepasan moratorium.

“Tiada pilihan untuk pulangkan bas jika tidak mampu membuat bayaran. Sebaliknya, mereka mempunyai kuasa mengambil tindakan undang-undang mengambil alih aset kami sekiranya tidak bayar hutang.

“Jadi, kami minta kerajaan mengambil alih pinjaman kami daripada syarikat kredit kepada bank-bank dimiliki oleh agensi-agensi kerajaan. Kami akan berurusan dengan bank-bank ini selepas ini. Ini memberi pilihan kepada kami secara automatik layak untuk moratorium,” katanya.

Tambahnya, jumlah pinjaman meliputi pegusaha bas persiaran seluruh Malaysia adalah antara RM2.5 bilion hingga RM3 bilion.

Sementara itu, timbalan presidennya, Wan Shairi Wan Ahmad meminta kerajaan supaya memberi kelonggaran dalam cukai jalan dan permit bas.

“Tuntutan kedua kami ialah memansuhkan bayaran untuk cukai jalan dan permit selama dua tahun sehingga industri pelancongan kembali berkembang semula.

“Kami adalah pengusaha ‘inbound’ bermaksud membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) kepada kerajaan. Tetapi, malangnya kami tidak menerima apa-apa manfaat daripada kerajaan dalam tempoh pandemik ini.

“Kami nak kerajaan memberi cukai jalan dan permit percuma selama dua tahun,” katanya.

Wan Shairi juga menambah bahawa GAPP Bas Malaysia juga mahu bayaran insurans kepada bas persiaran diberi diskaun 50 peratus untuk selama dua tahun.

“Ini kerana bas pesiaran antara yang dikenakan bayaran insurans yang paling tinggi. Bagi tahun pertama kami perlu bayar sekurang-kurangnya RM20,000 untuk insurans.

“Bas sekolah hanya perlu bayar dalam RM1,200 sahaja. Tapi, kami pula dikenakan sehingga RM6,000 hingga RM7,000 kononnya high risk business. NCB hanya sehingga 25% sahaja. Kalau boleh kami nak 55 peratus seperti kenderaan awam yang lain.”

“Cadangan ini sedikit sebanyak membantu kami untuk bertahan dalam pandemik Covid-19 ini,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha GAPP Bas Malaysia, Gunaratnam berkata bahawa kerajaan perlu memberikan peruntukan khas kepada pengusaha bas persiaran dalam Belanjawan 2021 ini.

“Kami lebih 6,800 pengusaha seluruh Malaysia meminta jasa baik memperuntukkan RM50 juta untuk membantu kami meneruskan kelangsungan kehidupan.

“Tidak seperti yang lain, kami tidak boleh memilih sektor lain dalam tempoh ini. Kerana kami ada bas dan tidak boleh dijual begitu sahaja.

“Siapa nak beli dalam masa ini. Lagi pun, kami masih perlu membelanja untuk penyelenggaran bas-bas ini. Ini tidak termasuk bayaran untuk tempat parkir dan sebagainya.”

“Maka, kami minta dana khas RM50 juta dalam bajet ini menerusi Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Menurutnya, GAPP Bas Malaysia bercadang kerajaan untuk memudahkan urusan dengan hanya satu kementerian sahaja.

“Buat masa ini kami terpaksa berurusan dengan beberapa kementerian mengakibatkan terdapat kekeliruan.

“Untuk memudahkan, biar kami berurusan dengan satu kementerian sahaja. Senang untuk semua pihak dan mudah faham prosedur-prosedur kerajaan,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed sebelum ini berkata bahawa memperkasa sektor kesihatan dan pelancongan negara merupakan antara agenda kerajaan dalam Belanjawan 2021.

“Salah satu sebab kenapa kita masih belum dapat pulih adalah kerana sempadan negara masih ditutup. Ini menjejaskan ekonomi negara, maka sektor pelancongan umpamanya, perlu digerakkan semula,” katanya.

Belanjawan 2021 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat ini.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/549336

COMMENTS