Gaji penjawat awam perlu disemak semula, tercorot di ASEAN

Gaji penjawat awam perlu disemak semula, tercorot di ASEAN. Gaji minimum penjawat awam perlu dinaikkan memandangkan sudah 15 tahun tidak disemak dan masih pada kadar RM1,200 sekali gus menjadi tercorot berbanding negara lain Asia Tenggara serta tidak berbaloi dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat pada setiap tahun.

Gaji minimum di Thailand adalah AS$414 sebulan atau bersamaan RM1,832 dan Indonesia pula AS$326 (RM1,443) manakala gaji tukang cuci di Singapura paling rendah adalah berjumlah AS$871 (RM3,855).

Sebaliknya, gaji permulaan pembantu tadbir kerajaan gred N11 berjumlah RM1,216 di samping hanya menerima Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak RM80 setahun, namun masih menerima gaji RM2,000 walaupun 10 tahun berkhidmat.

Situasi itu menyebabkan kira-kira 650,000 penjawat awam dalam kumpulan pelaksana yang tergolong dalam kumpulan penerima gaji lebih rendah daripada had pendapatan garis kemiskinan (PGK) negara iaitu RM2,208.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden II Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Zulkifli Mohamed berkata, kadar gaji minimum penjawat awam RM1,200 sudah dilihat tidak relevan dengan situasi semasa dan kadar itu perlu disemak kepada RM1,800 selaras peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP).

Gaji penjawat awam perlu disemak semula, tercorot di ASEAN

Paling menyedihkan katanya, jumlah itu hanya bertahan tidak sampai tiga hari selepas menerima gaji pada hujung bulan dan membayar pelbagai perbelanjaan termasuk sewa rumah, kos makan minum dan pendidikan anak-anak.

“Ini tidak termasuk potongan pinjaman bank dan sewa kuarters, baki itulah yang tinggal itulah untuk menyara mereka dan keluarga. Apatah lagi serba-serbi barang sudah meningkat tetapi gaji tidak pula meningkat.

“Meskipun ramai cakap penjawat awam ada pelbagai elaun, namun kadar itu tidak mampu dan masih rendah untuk menyara kehidupan khususnya membabitkan mereka yang tinggal di kawasan bandar.

“Sebab itulah, ada penjawat awam terpaksa mencari pendapatan tambahan dan kerja separuh masa selepas waktu pejabat seperti jual burger, bawa teksi dan sebagainya demi menanggung isteri dan anak-anak sehingga ke lewat malam,” katanya.

Kali terakhir semakan gaji penjawat awam dibuat pada 2007 iaitu ketika era pentadbiran Perdana Menteri keempat, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menyaksikan kenaikan gaji minimum kakitangan awam daripada RM800 kepada RM1,200.

BACA:

Stadium Shah Alam dibina baru dengan kos cecah RM787 juta

Pemimpin AMANAH bidas kenyataan Ramasamy mengenai Mat Kilau

Konsert Tribute hambar, ini luahan rasa Jamal Abdillah