Frontliners rasa di anak tiri

Frontliners rasa di anak tiri

Mereka diraikan sebagai hero atas usaha memerangi wabak dan dihantar ke hospital yang menempatkan kebanyakan pesakit Covid-19, tetapi pegawai perubatan kontrak, yang berada di barisan depan, tidak berasa seperti itu.

Kebanyakan mereka sebaliknya berasa seperti dianaktirikan.

Walaupun Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata, pada Nov bahawa mereka yang tamat latihan “housemanship” akan dinaik taraf daripada gred gaji U41 kepada U43 apabila jawatan mereka sebagai pegawai perubatan disahkan, mereka yang ditemu bual FMT berkata, sehingga kini, belum ada apa-apa kemas kini mengenai status naik taraf tersebut, mahupun kenaikan gaji.

Seorang pegawai perubatan kontrak dari Kuala Lumpur berkata, “doktor junior di Malaysia sedang mengalami waktu yang sukar”, selain menambah bahawa ramai rakan seperjuangannya bimbang tentang masa depan yang tidak menentu dan kurangnya pengiktirafan terhadap usaha mereka dalam memerangi wabak Covid-19.

“Semua orang bercakap tentang betapa berharganya petugas barisan depan, tetapi kamilah yang dihantar ke pusat Covid-19 selama berbulan-bulan.

“Gaji saya kini kurang daripada ketika saya menjadi ‘houseman’ kerana kehilangan elaun fleksibel RM600 apabila saya menjadi pegawai perubatan.

“Ramai orang berkata, kalau ingin menjadi doktor, tak perlu terlalu kisah tentang wang, tetapi kami hanya ingin berasa dihargai.”

Beliau adalah antara kumpulan pertama diserap ke dalam sistem kontrak yang dilaksanakan pada 2016, yang dilihat sebagai cara untuk mengurus lebihan graduan perubatan yang bersaing untuk mengisi sejumlah kecil jawatan tetap.

Lima tahun telah berlalu, dan dengan kontrak yang akan berakhir pada Dis, beliau belum tahu apakah yang akan berlaku selepas ini.

“Seorang pegawai memberitahu saya mereka tidak menerima apa-apa kemas kini berkenaan apakah yang akan terjadi selepas kontrak tamat.

“Yang lain berkata, saya patut mencari peluang pekerjaan yang lain, sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Seorang doktor lain, yang bercakap dengan FMT dari Negeri Sembilan berkata, sistem lanjutan ini sememangnya tidak sempurna kerana ia melucutkan kelayakan ramai doktor junior yang bersemangat untuk menjadi pakar, yang merupakan isu berikutan bilangan mereka semakin berkurang.

“(Bilangan) doktor pakar merosot di sektor kerajaan. Lebih ramai yang beralih ke sektor swasta, pengambilan pengajian pelajar sarjana hanyalah sebahagian kecil daripada bilangan doktor yang memasuki sistem setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, tempoh kontrak yang ditawarkan tidak membenarkan doktor ini memenuhi kriteria untuk kursus sarjana, yang diperburuk oleh ketidaklayakan mereka untuk mendapatkan geran pengajian Hadiah Latihan Persekutuan yang akan membantu membiayai pengajian lanjutan.

“Sekalipun anda mahu mengambil haluan selari untuk tujuan pengkhususan, disiplinnya terhad dan kosnya, selalunya lebih mahal berbanding program sarjana,” katanya.

Dr Muhammad Yassin, pegawai perubatan yang tamat latihan siswazah tahun lalu dan ditempatkan di Port Dickson, berkata, selain gaji dan prospek lebih rendah, doktor kontrak juga diketepikan daripada menerima banyak faedah penting yang diterima oleh kakitangan tetap.

Katanya, walaupun beliau faham bahawa bukan semua pegawai perubatan kontrak boleh diserap ke jawatan tetap kerana kekosongan yang terhad, namun beliau berharap mereka akan menerima faedah setanding dengan rakan sekerja mereka yang tetap kerana skop pekerjaan mereka umumnya sama.

“Kami tidak mendapat faedah seperti ‘hazard leave’, cuti radiasi (bagi mereka di Jabatan Radiologi untuk meminimumkan pendedahan berlebihan), cuti menyusu, atau cuti batuk kering, jadi kami mempertaruhkan kesihatan kami untuk terus bekerja,” katanya.

“Semasa wabak, kebanyakan petugas barisan depan adalah pegawai kontrak. Hampir semua rakan sekerja kontrak saya ditempatkan di pusat Covid-19, termasuk saya sendiri.

“Alangkah baiknya jika kerajaan dapat mengiktiraf kerja dan pengorbanan kami dengan sekurang-kurangnya menawarkan manfaat dan faedah serupa dengan yang diberikan kepada pegawai tetap.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/18/jangan-hanya-puji-beri-kami-ganjaran-kata-petugas-barisan-hadapan/

COMMENTS