Filem Mat Kilau dijangka cecah kutipan RM60 juta

Filem Mat Kilau dijangka cecah kutipan RM60 juta. Syamsul Yusof anggarkan filem arahannya, Mat Kilau : Kebangkitan Pahlawan boleh mencatat kutipan maksimum RM60 juta walaupun ada mendakwa ia boleh mengutip RM80 juta hingga RM100 juta.

Syamsul berkata, untuk memperoleh kutipan sebanyak RM80 juta hingga RM100 juta agak mustahil kerana setakat ini, kutipan paling tinggi di pawagam Malaysia ialah filem Avengers : Endgame sebanyak RM87 juta yang ditayangkan pada 2019.

“Sejujurnya untuk Mat Kilau pergi ke situ agak mustahil. Lagipun saya tak letak sasaran jumlah kutipan sebanyak itu. Namun, setakat ini dengan kekuatan filem itu dan pawagam dijangka menayangnya untuk tempoh sehingga dua bulan, saya anggarkan ia mampu mencatat kutipan maksimum RM60 juta,” katanya kepada Harian Metro.

Mat Kilau yang mula ditayangkan pada 23 Jun lalu berjaya mengutip RM50.1 juta pada hari ke-12 tayangannya, kelmarin. Jumlah kutipan itu merangkumi tayangan di Singapura dan Brunei.

Jumlah kutipan itu juga berjaya memecah rekod filem Munafik 2 yang juga arahan Syamsul pada 2018 sebanyak RM48 juta.

Filem Mat Kilau dijangka cecah kutipan RM60 juta

Munafik 2 yang juga menampilkan Syamsul sebagai pelakon utama ditayangkan selama hampir dua bulan di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia. Malah, ia mencatat kutipan sebanyak RM5 juta hasil tayangan di Indonesia.

Syamsul berkata, dia bersyukur kerana Mat Kilau kini berjaya mencipta sejarah sebagai filem tempatan paling laris menewaskan Munafik 2.

“Syamsul Yusof tewaskan Syamsul Yusof. Syukur. Ia memang berbaloi. Saya tak nafikan saya memang ‘mental’ nak siapkan filem ini,” katanya.

Dalam pada itu, Syamsul berkata, Mat Kilau juga bakal ditayangkan di saluran Netflix selepas tamat tayangan di pawagam nanti.

“Pihak penerbit sudah mengadakan perbincangan awal dengan Netflix. Namun, tarikh tayangannya mungkin lambat lagi,” katanya.

BACA:

Syamsul Yusof siap panggil Kazar dengan panggilan Abah

“Tahniahlah si perampas, sesuailah dua-dua perampas”, tulisan Fizi Ali undang persoalan

Emma Maembong mahu tambah anak lagi