Durian Damak berjaya kalahkan Musang King?

Durian Damak berjaya kalahkan Musang King?. Mas hijau, damak king, katak tembaga,kulit buaya, aji aziz dan naga emas me­rupakan antara jenis durian yang terdapat di Damak di sini yang menjadi rebutan ramai penggemar raja buah itu kerana rasanya mampu mengalahkan musang king.

Kegilaan terhadap durian kampung premium Damak bagaikan fenomena baharu apabila ramai penggemar durian ‘me­nyerbu’ pekan itu bagi mendapatkan durian Damak.

Isinya yang berwarna kuning dan mempunyai rasa yang sedap serta aroma tersendiri membuatkan durian Damak mampu mengatasi musang king.

Malah, ada durian seperti mas hijau yang memenangi pertan­dingan durian kampung pre­mium kini menjadi buruan meskipun dijual dengan harga RM40 sekilogram.

Di sekitar pekan Damak sahaja terdapat kira-kira 10 gerai menjual pelbagai jenis durian kampung pada harga serendah RM8, manakala durian kampung premium bermula RM15 sekilogram.

Durian Damak berjaya kalahkan Musang King?

Seorang penjual dan pekebun durian, Ahmad Mustafa, 43, berkata, terdapat lebih 20 jenis durian kampung yang dikate­gorikan sebagai premium selepas ia layak memasuki pertandingan durian kampung premium yang diadakan secara tahunan.

“Sebenarnya banyak lagi du­rian kampung berkualiti yang boleh dimasukkan dalam kate­gori premium, tetapi masih dijual mengikut kategori kampung biasa kerana tidak masuk bertanding.

“Jadi durian kampung premium di sini memang berbaloi untuk dibeli kalau dibandingkan dengan musang king yang lebih mahal,” katanya baru-baru ini.

Seorang penjual durian, Abdul Mutallib Mamat, 63, berkata, dia yang berpengalaman menjual durian lebih 30 tahun lalu me­ngakui durian kampung Damak sememangnya mendapat permintaan tinggi berbanding durian klon seperti musang king.

Dia yang dikenali dengan Pok Tar berkata, pelanggan yang datang membeli bukan sahaja dari Pahang, malah seluruh negara terutamanya dari Lembah Klang.

“Mereka datang hanya mahukan durian kampung Damak, mereka tidak mahukan durian lain termasuk musang king.

“Mereka sangat berpuas hati membeli durian kampung Damak yang mempunyai isi yang tebal, menarik dan cita rasa tersendiri seperti aroma yang unik.

“Setiap kali musim durian, ramai yang berulang-alik datang termasuk pelanggan baharu, ada yang datang membeli dan makan di sini serta bawa balik untuk keluarga, ada juga yang membeli banyak untuk dijual,” katanya.

Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Damak, Zulkifly Mahmud pula berkata, durian kampung termasuk premium memang banyak ditanam di sekitar Damak oleh generasi dahulu yang mana biji durian dibawa dari seluruh negara termasuk Thailand.

“Pada masa ini, hampir kese­mua penduduk di Damak mempunyai pokok durian khusus­nya di kawasan sekitar rumah mereka­ iaitu sekurang-kurangya 0.8 hektar kawasan ditanam raja buah bagi setiap keluarga,” ujar­nya.

Sementara itu, seorang pe­langgan, Safinah Yaakob, 50, berkata, dia bersama rakan-­rakannya da­tang ke Damak semata-mata untuk menikmati durian kampung.

Menurutnya, selain harga berpatutan, isi durian yang tebal dan menarik serta rasa yang tersendiri membuatkan dia se­ring berkunjung ke Damak bersama rakan-rakan.

“Kalau musang king di mana-mana sahaja ada, tetapi durian kampung terbaik atau premium, hanya ada di Damak,” ujarnya.

Ketika ini, musing king di Jerantut dijual pada harga antara RM35 hingga RM40 sekilogram.

Pada 19 Jun lalu, Kosmo! Ahad melaporkan, durian musang king yang dahulunya dijual pada harga RM60 sekilogram di daerah Bentong turun mendadak sehingga RM23 sekilogram selepas pe­niaga melakukan ‘perang harga’.

Trend penurunan harga berlaku sejak tiga minggu lalu apabila sebahagian peniaga di da­erah itu mahu menghabiskan stok buah masing-masing sama ada yang ditanam di kebun atau dijual oleh peraih.

BACA:

‘Tok Guru Diraja’ ditangkap khalwat dengan pekerja sendiri

Husam dedah syarikat abang Exco di Kelantan pula dapat tanah

Kajian dapati individu gagal berdiri satu kaki berisiko mati dalam 10 tahun