Dua hari pelaksanaaan PKP, 82 kompaun telah di keluarkan

Dua hari pelaksanaaan PKP, 82 kompaun telah di keluarkan

Polis Johor telah mengeluarkan sebanyak 82 kompaun dalam tempoh dua hari sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh 3.0 dilaksanakan bermula 1 Jun lalu membabitkan kompaun keseluruhan bernilai RM210,500.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, jumlah kompaun dikeluarkan pihaknya sejak 1 Januari hingga semalam pula adalah sebanyak 4,423.

Menurutnya, kawasan pentadbiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri dan Segamat mencatatkan jumlah pengeluaran kompaun terkumpul tertinggi.

“Dalam tempoh dua hari itu juga, polis telah memeriksa 17,512 premis bagi memastikan tahap pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Antara premis diperiksa termasuklah pasar raya, restoran, pusat komersil, pusat perindustrian, rumah ibadat, terminal pengangkutan, pusat sukan dan rekreasi serta premis penjaja,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Antara kesalahan umum dalam tempoh PKP ini termasuklah gagal memakai pelitup muka, gagal mendaftar MySejahtera, gagal menjaga jarak fizikal, penumpang melebihi had kenderaan dan gagal mengimbas suhu sebelum memasuki premis.

Tambah beliau, pemeriksaan berkenaan dilakukan oleh seramai 1,598 pegawai dan anggota yang digerakkan secara aktif di seluruh Johor dengan pematuhan berada pada tahap 97 peratus.

“Sementara itu, seramai 1,047 pegawai dan anggota daripada polis, tentera dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ditempatkan di 69 lokasi sekatan jalan raya di seluruh negeri.

“Dalam tempoh dua hari itu, polis terima 3,384 permohonan pergerakan rentas daerah dan negeri di mana sebanyak 88 daripadanya ditolak manakala selebihnya diluluskan,” ujarnya

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/06/03/pkp-3-0-rm210500-kompaun-dikeluarkan/

COMMENTS