Doktor ramal hidup 6 bulan lagi, lelaki ini tetap gigih cari rezeki

Doktor ramal hidup 6 bulan lagi, lelaki ini tetap gigih cari rezeki. Meskipun diramal hayat hidupnya berbaki enam bulan lagi disebabkan kanser paru-paru tahap empat namun Abd Halim Yaacob, 55, masih bekerja di salon miliknya untuk kelangsungan hidup.

Pemilik salon lelaki di Pengkalan Chepa itu berkata, keadaan kesihatannya semakin merudum hari ke hari selepas disahkan menghidap penyakit terbabit pada Mac lalu.

Katanya, dia tidak dapat membuka salon seperti biasa dan hanya beroperasi jika dia sihat kerana mudah penat selain mengalami sesak nafas serta sakit dada berpanjangan.

“Walaupun tempoh masa sebelum saya ‘pejam mata’ sudah diberitahu, saya tetap berdoa semoga sakit ini boleh sembuh. Saya perlu kuat melawan sakit dan dalam masa sama perlu mencari wang untuk membeli ubat-ubatan dan makanan tambahan.

“Saya sebenarnya sudah buntu kerana semua simpanan hasil saya bekerja di salon selama 12 tahun habis digunakan untuk merawat kanser, manakala saya pula tidak sekuat dulu untuk terus bekerja.

Doktor ramal hidup 6 bulan lagi, lelaki ini tetap gigih cari rezeki

“Sekarang saya menumpang di rumah kakak, Zaharah Yaacob, 59, memandangkan saya tidak berkahwin dan tiada tempat bergantung selain daripada adik-beradik sendiri,” katanya yang perlu menjalani kimoterapi sebanyak dua kali sebulan di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, di sini.

Abd Halim berkata, sebelum ini dia mampu memperoleh sehingga tujuh pelanggan sehari, tetapi kini hanya memberikan khidmat menggunting atau mencuci rambut seorang pelanggan saja kerana cepat penat dan mudah diserang sesak nafas.

“Ada masanya tiada seorang pun pelanggan yang datang serta tiada lagi pelanggan tetap, mungkin selepas mereka simpati melihat fizikal saya yang kurus kerana kehilangan berat badan hampir 20 kilogram.

“Lebih memeritkan apabila saya dalam dilema untuk membuat keputusan sama ada mahu melepaskan salon yang sudah lama menjadi punca rezeki kerana tidak lagi mampu membayar sewa sebanyak RM1,000 sebulan.

“Saya berdoa kepada Allah semoga penyakit ini sembuh dan saya mampu bangkit semula bekerja dan menjalani kehidupan tanpa kesakitan,” katanya.

Menurutnya, dia percaya jangkaan hayat hidup itu hanyalah bersandarkan teori perubatan yang perlu disampaikan doktor kepada pesakit namun hanya Allah yang menentukan ajal maut seseorang.

Bagi sesiapa yang mahu membantu meringankan beban Abd Halim boleh menghubungi nombor telefon miliknya di talian 0179644189.

BACA:

Warga emas terlanggar isteri sendiri hingga maut, “Ayah tak sengaja…”

Kapal pengangkut pesawat buatan tempatan dilancarkan di India

Aerotrain baru bakal beroperasi di KLIA menjelang 2025