Dividen ASB masih boleh ‘cover’ faedah pinjaman bank

Dividen ASB masih boleh ‘cover’ faedah pinjaman bank. Agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera (ASB) pada kadar 4.6 peratus dan bonus tambahan 0.5 peratus bagi 2022, meskipun lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, tetapi masih mencukupi kepada pemegang unit yang membuat pinjaman bank untuk membuat bayaran balik pembiayaan dana berkenaan, demikian menurut penasihat kewangan berlesen.

Penasihat Kewangan Berlesen One Solution Advisory Sdn Bhd, Razwan Awaludin, berkata pemegang unit khususnya mereka yang mendapat pembiayaan bank untuk ASB masih berupaya membayar balik pembiayaan berdasarkan purata kadar faedah terkini pinjaman berkenaan iaitu antara 4.0 hingga 4.4 peratus.

“Saya melihat peminjam sedia ada yang dikenakan kadar faedah lebih tinggi sepatutnya sudah mengumpul pokok pelaburan yang lebih supaya masih membuat bayaran balik pembiayaan,” katanya ketika dihubungi BH.

Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) semalam mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Bhd (PNB) itu juga mengumumkan bonus tambahan 0.5 sen seunit bagi 30,000 unit pertama yang dipegang oleh pemegang unit ASB.

Dividen ASB masih boleh ‘cover’ faedah pinjaman bank

Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan adalah sebanyak RM8.9 bilion yang akan memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB.

Pada 2021, pengagihan pendapatan ASB adalah 5.0 sen seunit, merangkumi agihan pendapatan sebanyak 4.25 sen seunit dan bonus sebanyak 0.75 sen seunit.

Mengulas lanjut, Razwan berkata, pembiayaan ASB masih relevan meskipun agihan pendapatan oleh ASNB lebih rendah, sekiranya objektif perancangan pelaburan adalah untuk tempoh jangka masa panjang.

Dividen ASB masih boleh ‘cover’ faedah pinjaman bank

“Ini kerana secara puratanya, ASB masih menawarkan pulangan yang lebih tinggi dari kadar pembiayaan ASB. Tambahan pula ahli boleh menjangka pulangan yang lebih memberangsangkan apabila ekonomi tempatan dan dunia kembali pulih,” katanya.

Beliau menjelaskan, jangkaan ekonomi global lebih mencabar tahun hadapan sememangnya menggambarkan agihan pendapatan ASB pada 2023 akan menjadi lebih rendah.

“Justeru, ahli disarankan mengambil peluang untuk pelbagaikan aset pelaburan selain ASB terutama yang menawarkan harga rendah tetapi mempunyai nilai yang tinggi seperti saham mahupun bon berdasarkan kepada profil risiko pelabur.

“Sebaiknya dapatkan nasihat dari penasihat kewangan berlesen dan jangan hanya lihat jangkaan pulangan yang tinggi sahaja tetapi utamakan jenis risiko yang didedahkan,” katanya.

Sementara itu, Perancangan Kewangan Berlesen VKA Wealth Planners Sdn Bhd, Muhammad Hanif Yahaya berkata, pelabur yang melabur ke dalam ASB menggunakan pinjaman atau pembiayaan perlu menyemak semula pinjaman/pembiayaan mereka bagi mengetahui sama ada agihan pendapatan cukup atau sebaliknya untuk membuat bayaran balik.

“Sekiranya pulangan ASB kali ini tak cukup untuk jumlah pembayaran semula pinjaman atau pembiayaan maka anda perlu mempertimbangkan sama ada mahu meneruskan pinjaman atau pembiayaan atau tidak terutama buat mereka yang ada kekangan dari sudut aliran tunai.

“Ini kerana kesan daripada pulangan pelaburan yang lebih rendah dari jumlah pembayaran semula, ia akan menyebabkan lebihan kewangan anda berkurang kerana perlu menampung kos pembiayaan.

Muhammad Hanif menjelaskan, antara satu cara mengukur prestasi sesuatu pelaburan adalah dengan membandingkan prestasi pulangan berkenaan dengan prestasi penanda aras.

“Bagi ASB, penanda aras yang digunakan adalah Kadar Purata Deposit Tetap 12-Bulan Maybank. Agihan pendapatan ASB adalah 4.60 peratus tambah 0.50 peratus manakala Kadar Purata Deposit Tetap 12-Bulan Maybank adalah 2.27 peratus.

“Ini bermakna agihan pendapatan ASB lebih tinggi 2.33 peratus, 233 mata asas (tidak termasuk bonus tambahan 0.50 peratus) melebihi Kadar Purata Deposit Tetap 12-Bulan Maybank.

“Jadi bagi saya, umumnya pulangan ASB adalah masih kompetitif,” katanya.

Beliau menjelaskan, agak sukar untuk ASNB memberi pulangan ASB yang tinggi seperti mana pada tahun-tahun sebelum ini.

Ini kerana, katanya, cabaran besar bagi ASNB dalam menguruskan ASB adalah saiz dana yang besar.

“Kalau kita lihat pada tahun berakhir 2021, saiz dana ASB adalah kira-kira 181.9 bilion unit dan meningkat kepada 186.4 bilion unit pada tahun ini. Peningkatan kira-kira 4.5 hingga 4.6 bilion. Sedangkan peningkatan pendapatan meningkat tidak setinggi peningkatan saiz dana.

“Oleh sebab itu kita boleh lihat trend penurunan berbanding tahun-tahun lalu. Di tambah pula jangkaan ahli ekonomi yang 2023 dijangkakan agar mencabar dan kemungkinan berlaku kemelesetan, jadi ada kemungkinan pulangan tahun depan akan lebih rendah,” katanya.

Pengarah Urusan Firma Pengurusan Kewangan Wealth Vantage Advisory Sdn Bhd, Rafiq Hidayat Mohd Ramli pula berkata, kemampuan bayaran balik pembiayaan ASB adalah bergantung kepada kadar faedah dan tempoh pembiayaan.

Katanya, secara umumnya kemungkinan besar tidak mencukupi (menampung bayaran balik pembiayaan) dan mana-mana ahli yang mengambil pembiayaan ASB dengan institusi perbankan perlu menambah sedikit wang daripada simpanan untuk menampung komitmen bayaran bulanan.

“Secara amnya ya, agihan pendapatan ASB kurang kompetitif berbanding dahulu di mana perbezaan antara kadar faedah dengan dividen lebih dari 2.0 peratus (sekarang di bawah 0.5 peratus).

“Ada kemungkinan besar agihan pendapatan yang rendah akan berterusan. Justeru, ahli disarankan untuk rujuk kepada yang pakar seperti perancang kewangan berlesen untuk mengetahui langkah yang perlu diambil untuk mengukuhkan kewangan peribadi masing-masing,” katanya.

BACA:

Tawar pakej umrah tak wujud, pemilik syarikat ini ditahan polis

Jalan bata kuning 3,000 meter di dasar laut kejutkan saintis

Kantoi curang dengan janda, isteri serbu suami dalam bilik hotel… Terkejut lihat tuala basah