Disangka hilang di gunung datuk rupanya …

Disangka hilang di gunung datuk  rupanya …

Dua anggota bomba yang ingin menunaikan solat asar ketika menyertai operasi menyelamat seorang lelaki berusia 21 tahun yang dilaporkan hilang di Gunung Datuk dikejutkan dengan penemuan mangsa yang sedang lena tidur di atas kusyen panjang di bilik stor Dewan terbuka di Tapak Kaki Gunung Datuk, di sini, kira-kira pukul 4.50 petang tadi.

Dua anggota berkenaan kemudiannya memaklumkan penemuan berkenaan kepada Ketua Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Arif Ahmad Osasi namun mangsa tiba-tiba lesap dari atas sofa berkenaan.

Menurut Arif, pasukan penyelamat bergegas mencari mangsa di kawasan sekitar serta bilik stor berkenaan dan menyedari mangsa yang masih dalam keadaan seperti tidur sedang menyorok di dalam sebuah almari.

“Kita terima maklumat mengenai kehilangan berkenaan pada pukul 1.50 petang dan tiba di lokasi pada pukul 2.08 petang. Pasukan penyelamat terdiri daripada polis dan bomba sudah melakukan pemeriksaan di dalam bilik stor dan almari berkenaan sebelum memulakan pencarian ke puncak Gunung Datuk namun tidak menemui mangsa.

“Mangsa yang baharu dua bulan taman belajar peringkat diploma di sebuah universiti awam kini telah dihantar ke Hospital Rembau oleh pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Tapak Kaki Gunung Datuk, di sini, tadi.

Difahamkan, mangsa mengalami masalah kesihatan mental dan aktiviti pendakian merupakan aktiviti kegemarannya.

Mohd. Arif berkata, antara barangan yang ditemui ialah motosikal mangsa, kasut mangsa yang masih dalam keadaan basah dan baju serta seluar di tiga lokasi berlainan di kawasan tapak kaki Gunung Datuk seawal pencarian di kawasan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintendan, Hazri Mohamad berkata, pihak polis mendapat maklumat mengenai kehilangan lelaki berusia 21 tahun itu setelah menerima laporkan polis daripada ibu mangsa di Balai Polis Chembong kira-kira pukul 11.23 pagi.

Menurutnya, berdasarkan maklumat awal yang diterima dari ibu mangsa berusia lingkungan 40-an, mangsa disedari tiada di rumah bersama motosikalnya jenis Honda kira-kira pukul 6 pagi.

“Ibu mangsa cuba menghubungi mangsa namun tiada jawapan yang diterima lalu bertindak mencari mangsa sehingga ke kaki Gunung Datuk dan telah menjumpai motosikal anaknya di lokasi berkenaan.

“Mangsa yang telah selamat ditemui telah diserahkan kepada keluarganya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Berita Penuh :https://www.kosmo.com.my/2021/06/06/disangka-hilang-rupanya-tidur-di-sofa/

COMMENTS