Desak keluar KWSP bukti ekonomi rakyat makin tersepit – Faiz Fadzil

Desak keluar KWSP bukti ekonomi rakyat makin tersepit – Faiz Fadzil

Walaupun tujuan asas caruman KWSP adalah sebagai simpanan untuk perbelanjaan selepas persaraan, namun desakan rakyat negara ini agar kerajaan membenarkan pengeluaran caruman KWSP Akaun 1 secara ‘one-off’ sehingga RM10,000 adalah bukti kehidupan rakyat yang semakin tersepit. Justeru, titah Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong yang menekankan pemulihan ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat diutamakan dalam Belanjawan 2021 adalah tepat dan wajar.

Pandemik Covid-19 bukanlah faktor tunggal yang menyebabkan kemelesetan ekonomi hari ini. Ia juga disumbangkan oleh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mencari polisi yang tuntas merangsang ekonomi rakyat serta menyelesaikan masalah rantaian nilai dan juga ketidakstabilan politik PN yang menghakis keyakinan pelabur asing. Jika pencapaian mereka benar-benar positif, mengapa pelabur asing lari daripada pasaran saham Malaysia dengan begitu drastik? Setakat akhir Oktober 2020 sahaja, aliran keluar bersih dana asing tahun ini menurut MIDF melonjak ke RM23 bilion berbanding RM11.41 bilion bagi tahun 2019.

Rakyat, khususnya golongan B40 dan perusahaan kecil sederhana (PKS), masih berada dalam kesulitan kewangan tetapi ini gagal ditangani dengan berkesan oleh kerajaan PN. Program Subsidi Upah (PSU) seharusnya diteruskan bagi membantu golongan PKS untuk terus bertahan. Di samping itu, moratorium pinjaman bank yang tidak dilanjutkan secara automatik juga boleh menambah derita rakyat hari ini. Dianggarkan 20% -30% PKS bakal gulung tikar jika tiada pakej rangsangan ekonomi baru yang lebih berkesan diperkenalkan kerajaan.

Bukan itu sahaja, Akta untuk menangani kesan COVID-19 juga telah mengambil masa yang sangat lama untuk untuk dibentangkan di Parlimen di mana hanya diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2020. Akta yang serupa telah diluluskan di negara-negara lain jauh lebih awal. Di Singapura misalnya, Akta berkenaan diluluskan seawal 7 April 2020. Kelewatan ini menunjukkan lemahnya tatakelola kerajaan PN yang banyak masa ditumpukan pada urusan politik akibat kerapuhan kerajaan PN.

Sektor pekerjaan Malaysia masih terus lembab dan saban hari kita disajikan dengan berita pemberhentian kerja termasuk di syarikat-syarikat besar yang mana mencecah hampir 90,000 orang. Sektor penerbangan terjejas teruk di mana syarikat-syarikat seperti AirAsia, Malaysia Airlines dan Malindo memberhentikan ramai pekerja mereka. Apakah tindakan konstruktif atau jalan keluar kerajaan PN untuk mengurangkan impak ini sebanyak mungkin?

Kepada kerajaan PN , bangkitlah daripada tidur. Kelemahan PN semakin menonjol saban hari dan ini akan memberikan kesan negatif yang besar terhadap ekonomi negara dan kehidupan rakyat.

Stop living in denial and get your act together!

FAIZ FADZIL
2 November 2020

COMMENTS