Debaran menjelang pengundian bajet, akan ada MP BN ikut jejak langkah Ku Li

Debaran menjelang pengundian bajet, akan ada MP BN ikut jejak langkah Ku Li

Tindakan tokoh veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah yang memilih untuk tidak menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat dilihat akan mempengaruhi segelinitir ahli Parlimen yang lain untuk tidak turut serta.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Dr Awang Azman Awang Pawi berkata ia juga membawa kemungkinan kegagalan Belanjawan 2021 untuk diluluskan.

“Beliau sebagai pemimpin ikon dalam UMNO bertindak demikian, saya kira ia akan memberikan impak kepada ahli Parlimen lain.

“Mereka sama ada turut bertindak seperti beliau yang tidak hadir sehingga apabila Belanjawan diperlukan.

“Sekiranya perkara ini ‘merebak’ dan ‘berwabak’, ia akan menyebabkan Belanjawan 2021 gagal diluluskan,” katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.

Dr Awang Azman juga berpendapat ia merupakan satu ancaman besar kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali gus membawa ancaman kepada kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu.

“Ia boleh mengakibatkan kerajaan PN tumbang dan perdana menteri terpaksa meletak jawatan.

“Itu dari segi implikasi daripada tindak tanduk, sikap dan pendirian Ku Li terhadap hal ini,” katanya.

Pada Isnin, Tengku Razaleigh menjelaskan pendiriannya menerusi sepucuk surat kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harin bahawa beliau tidak akan menyertai perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana keabsahan kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dapat ditentukan.

Beliau menerusi surat bertarikh 19 November lalu itu juga menjelaskan, mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan tanpa memastikan sama ada perdana menteri dan jemaah menteri sah atau tidak dalam jawatan akan menjejaskan salah satu prinsip penting perlembagaan.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/ku-li-tidak-sertai-perbahasan-ahli-parlimen-lain-turut-terpengaruh-269726

COMMENTS