Datin nafi edar 14.9 kilogram syabu

Datin nafi edar 14.9 kilogram syabu

Lima individu termasuk seorang usahawan kosmetik bergelar ‘Datin’ berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 14.9 kilogram, dua minggu lalu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan terhadap Datin Rohanee Doloh, 47 bersama adiknya, Silawati, 26, serta Mohd. Nasrul Hafiszan Mat Nasir, 36, Ahmad Maziri Mazlan, 26 dan Wan Mohamad Syariman Maula Wan Mohd. Nadzir, 24.

Pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Izuddin Mohd. Shukri.

Mengikut pertuduhan, lima individu terbabit didakwa mengedar dadah jenis syabu atau methamphetamine dengan berat kasar 14.989 kilogram di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Mulong 1, kira-kira pukul 4 petang 8 Mei lalu.

Mereka berlima didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin dan Nur Alyaa Mohd. Zain.

Mahkamah menetapkan tarikh 25 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Akhbar sebelum ini melaporkan penahanan wanita warga Thailand bergelar Datin yang dipercayai menjadi dalang kegiatan sindiket pengedaran dadah bernilai RM2.34 juta yang berlindung di sebalik perniagaan kosmetik miliknya.

Berita Penuh :https://www.utusan.com.my/terkini/2021/05/datin-empat-ahli-sindiket-nafi-edar-14-9-kilogram-syabu/

COMMENTS