Covid-19 : Menteri zahir kebimbangan ibu bapa tak mahu hantar anak ke sekolah

Covid-19 : Menteri zahir kebimbangan ibu bapa tak mahu hantar anak ke sekolah

Kementerian Pendidikan bimbang terdapat kelompok besar pelajar akan mengalami keciciran akademik jika pelajar kerap tidak hadir ke sekolah ketika negara menghadapi krisis COVID-19.

Menteri Pendidkan, Dr Radzi Jidin, berkata keadaan itu akan dapat dilihat sebaik krisis COVID-19 selesai.

“Katakanlah wabak COVID-19 sudah selesai, ada vaksin… ada ubatnya… kita akan lihat satu kelompok besar (pelajar) yang tercicir. Pada waktu itu, ia sudah terlambat untuk kita mendekati anak-anak ini.

“Oleh itu, kami cukup teliti untuk memastikan (kehadiran pelajar ke sekolah)… apabila yang tidak hadir ke sekolah sebagai contoh, kita nak tahu kenapa, sebab itu saya banyak ke sekolah dan lihat buku kehadiran, ada yang sering ponteng sekolah.

“Faktor sosioekonomi itu juga memainkan peranan besar dan disebabkan itu kami cukup risau… ketidakhadiran yang boleh membawa kepada keciciran,” katanya ketika ditemu bual dalam program Soal Rakyat di TV3, pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai pelajar yang tidak hadir disebabkan ibu bapa bimbang mengenai penularan COVID-19, Dr Radzi menegaskan keadaan itu juga antara faktor yang boleh menjurus kepada keciciran.

Sementara itu, beliau berkata peratusan pelajar yang hadir ke sekolah di seluruh negara ketika ini kekal sebanyak 85 peratus walaupun ketika negara sedang menghadapi gelombang ketiga COVID-19.

Beliau berkata peratusan yang sama direkodkan pada Julai lalu.

“Data terkini pada 14 Oktober, selepas kita tolak semua sekolah-sekolah di kawasan dikenakan PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah, laporan menunjukkan kehadiran masih 85 peratus.

“Jadi kehadiran pelajar ke sekolah pada waktu ini berada pada tahap yang sama sebelum gelombang ketiga (COVID-19),” jelasnya.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tidak-hadir-sekolah-kementerian-bimbang-ramai-pelajar-keciciran-selepas-covid19-dr-radzi-jidin-264017

COMMENTS