Covid-19 : Kerajaan Selangor pada masa ini “bertarung sambil mata tertutup”

Covid-19 : Kerajaan Selangor pada masa ini “bertarung sambil mata tertutup”

Kerajaan Selangor pada masa ini “bertarung sambil mata tertutup” dalam responsnya terhadap Covid-19 selepas Kementerian Kesihatan (KKM) didakwa tidak lagi berkongsi data penting berkenaan kes positif.

Perkara ini menurut sejumlah sumber dan juga pegawai yang ditugaskan oleh kerajaan negeri untuk merangka dan melaksanakan strategi kesihatan awam bagi mendepani wabak itu.

Difahamkan sejak minggu pertama Oktober, Pasukan Petugas Covid-19 Selangor (STFC) tidak lagi menerima data granular daripada KKM, justeru menjejaskan usahanya untuk membendung penularan.

Data granular merujuk kepada data paling terperinci yang boleh didapati daripada sesuatu subjek.

Usaha yang terjejas termasuk penutupan premis di kawasan berlaku penularan, pelaksanaan pengesanan kontak dan ujian percuma di kawasan berisiko tinggi.

Mengesahkan perkara itu, Pengerusi STFC Dr Dzulkefly Ahmad berkata keputusan untuk menghentikan perkongsian data di saat kes di Selangor meningkat amat menjejaskan usaha kerajaan negeri.

“Kamu minta kita bertarung di gelanggang, tetapi tutup mata kita. Itulah yang kami rasa pada masa ini,” katanya ketika dihubungi.

“Kita perlukan granularity dalam perincian di lapangan untuk kita buat antara lain ujian bersasar.

“Data penting kerana ini yang kita panggil ujian massa berpandukan data. Lebih terperinci butirannya, lebih kaya kita dari segi data, lebih tepat analitis dan perancangan tindakan kita,” kata bekas menteri kesihatan itu.

Baca: Selangor syor PKPD di PJ Utara, bukannya PKPB seluruh negeri

Malaysiakini telah menghubungi KKM untuk mendapat maklum balas berkenaan perkara ini.

S’gor kini bergantung pada sidang media Noor Hisham

Satu lagi sumber dalam STFC memberitahu Malaysiakini bahawa pasukannya kini hanya diberi “dua atau tiga” daripada 43 angkubah data berkenaan pesakit yang ada pada KKM.

“Kekurangan maklumat membuatkan kita hilang kejelasan kes, menghentikan pemetaan strategik, mensia-siakan pemprofilan zon, menjadikan pengesanan kontak Selangkah tak berkesan, dan menghentikan strategi saringan komuniti kami yang aktif,” kata seorang lagi sumber.

Mutakhir ini, kata sumber itu lagi, STFC terpaksa bergantung kepada sidang media harian oleh Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah untuk data, “setelah keadaan telah pun terjejas”.

Mengesahkan perkara ini, Exco Kesihatan Selangor Dr Siti Mariah Mahmuf berkata pihaknya “hanya dapat apa yang orang awam dapat”.

Minggu lalu, Siti Mariah mendedahkan bagaimana permintaan kerajaan negari untuk integrasi Selangkah dengan MySejahtera “ditolak”.

Selangkah adalah aplikasi pengesanan kontak kerajaan negeri yang dilancarkan sebelum MySejahtera.

Menurut Siti Mariah, selepas pelancaran MySejahtera, kebanyakan premis tidak lagi mempamerkan Kod QR Selangkah dan ia telah membataskan data yang dapat diperolehi kerajaan negeri.

“Kita minta untuk integrasi tetapi ditolak. Saya tak tahu apa asasnya,” katanya dalam rancangan “Consider This” Astro Awani minggu lalu.

Katanya, antara kemungkinan sebab penolakan itu adalah Selangkah bukan aset KKM.

“Jika Selangkah ditambah baik, kita akan dapat mengetahui premis mana yang telah dinyahkuman, premis yang sesak dan sebagainya,” katanya lagi.

Selangor mencatatkan negeri dengan kes positif kedua tertinggi dengan 3,250 kes, selepas Sabah dengan 7,439 kes setakat ini.

Lima daripada sembilan daerah di Selangor dikategorikan sebagai zon merah, dengan Petaling sebagai daerah terbukur dengan 342 kes, disusuli Klang dengan 162 kes.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/547182

COMMENTS