Covid-19 berjaya kalahkan Trump

Covid-19 berjaya kalahkan Trump

Saya bangun daripada tidur pada jam 4.30 pagi hari ini dan menyemak keputusan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat.

Keputusannya tidak berubah berbanding dengan semasa saya masuk tidur.

CNN menyiarkan tajuk berita “Jalan ke 270 undi bergantung kepada enam negeri utama”, melaporkan dengan sedikit perbezaan berbanding dengan penerbitan lain di Amerika Syarikat yang Joe Biden sedang mendahului dengan 237 undi badan pemilihan berbanding dengan 213 undi yang diraih oleh Trump.

Setakat 6:15 pagi, CNN menyiarkan “Joe Biden menghampiri 270”, melaporkan yang Biden kini mendahului dengan 253 undi badan pemilihan berbanding dengan Trump yang masih tersekat setakat 213 undi.

Cerita 253-213 ini kekal tidak berubah untuk beberapa jam sehinggalah tajuk berita CNN sekali lagi bertukar pula kepada “Biden menyasarkan 270 sambil pengiraan undi diteruskan”.

Walaupun pengundian ini akan memakan masa yang berjam-jam lagi sebelum keputusan rasmi mengenai siapa yang dapat mengumpulkan 270 undi dapat diumumkan untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat bagi tempoh empat tahun yang akan datang, besar kemungkinannya yang Joe Biden telah pun memenangi pilihan raya ini untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-46.

Tetapi, bukanlah Joe Biden yang mengalahkan Donald Trump, lebih kepada wabak COVID-19 yang mengalahkan Trump.

Menjadi suatu perkara yang amat ironi, apabila dalam hari-hari terakhir kempen Trump, sedang beliau menyebarkan kekeliruan, mengatakan yang wabak COVID-19 di Amerika Syarikat sedang berubah arah ke arah yang lebih baik, negara tersebut mencatatkan peningkatan harian tertinggi dalam minggu terakhir kempen, di mana dalam enam daripada tujuh hari, jangkitan COVID-19 di AS memecahkan rekod baharu, di antara 81,892 kes pada 28 Oktober sehingga ke 101,538 kes pada 30 Oktober 2020.

Seakan-akan mesej dalam minggu terakhir kempen ini tidak cukup untuk membawa kesedaran, semalam AS mencatatkan peningkatan harian tertinggi dengan 108,389 kes, mengesahkan amaran Dr Deborah Birx, salah seorang penasihat kanan coronavirus White House pada 2 November yang mengatakan wabak ini hanya akan bertambah teruk sebelum beransur pulih.

Menurut Washington Post, Dr Birx memberikan amaran yang “kita sedang memasuki satu fasa baharu wabak ini yang sangat membimbangkan dan merbahaya… membawa kepada peningkatan kematian.”

Beliau juga memberikan amaran mengenai White House yang tidak mengambil tindakan yang secukupnya: “Perkara ini bukannya mengenai sekatan pergerakan — ia bukan mengenai sekatan pergerakan sejak daripada bulan Mac atau April lagi. Tetapi apa yang tiada adalah satu pendekatan agresif yang seimbang untuk mengekang wabak ini.”

Satu model penularan COVID-19 menjangkakan yang jumlah kematian akibat COVID-19 di Amerika Syarikat akan meningkat tiga kali ganda menjelang pertengahan Januari.

Perkara ini selepas Amerika Syarikat mendahului dunia dengan mencatatkan jumlah jangkitan dan kematian tertinggi akibat Covid-19, dengan lebih daripada 8.9 juta kes dan lebih daripada 239,000 kematian.

Satu lagi perkara yang tidak menyenangkan adalah pencapaian baharu wabak COVID-19, yang mencatatkan rekod baharu peningkatan harian dengan 571,314 kes di seluruh dunia semalam, hampir lima kali ganda jumlah 118,000 kes terkumpul di seluruh dunia pada masa wabak ini diumumkan sebagai satu pandemik pada 11 Mac.

Jelas sekali Trump telah dikalahkan oleh pandemik COVID-19 dan bertimbun-timbun penipuan dan berita palsu beliau sendiri.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-dunia/trump-telah-dikalahkan-oleh-penipuan-dan-berita-palsunya-sendiri-kit-siang-266920

COMMENTS