Chong Wei kongsi nasihat tentang Ramadan kepada anak

Chong Wei kongsi nasihat tentang Ramadan kepada anak

Bintang badminton Lee Chong Wei mengongsikan nasihatnya yang tak ternilai untuk anaknya Kingston mengenai Ramadan dan bertolak ansur, semalam.

Dalam hantaran di media sosial, bekas pemain kebangsaan itu menceritakan bagaimana anak lelakinya yang berusia lapan tahun menyoal kenapa guru menasihatkannya makan berjauhan daripada rakan beragama Islam di sekolah.

Lee yang mengakui kesilapannya tidak mengajar anaknya mengenai Ramadan, kemudian cuba menjelaskan bahawa tindakan guru itu bagi menghormati rakannya yang sedang berpuasa.

Kingston yang tidak berpuas hati mempertikaikan kenapa perlu bertolak ansur lalu terus dimarahi ibunya, Wong Mew Choo yang juga bekas pemain badminton kebangsaan, menyebabkan kanak-kanak itu menangis.

Lee bagaimanapun menjelaskan pentingnya bertolak ansur kepada anak sulungnya itu dengan berkata Kingston yang digelar ‘Koko’ itu tidak akan mempunyai kawan jika tidak mahu bertolak ansur.

“Bayangkan kalau tak bertolak ansur, Koko main mercun semasa ‘New Year’ mestinya dimaki. Jika tidak hormat, kawan India buat perarakan Thaipusam semestinya dihalang.

“Andainya tidak menghormati sesama lain, tak mungkin ‘shopping mall’ KL ada ‘Christmas tree’ masa Krismas.

“Kita menang bola dan Thomas Cup pun sebab kita bertolak ansur dan bersatu padu,” katanya.

Kingston yang nampak menyesal kemudian menjawab dia mahu terus bersahabat dengan rakan-rakannya.

Lee kemudian mengakhiri kisahnya dengan ucapan selamat menyambut Ramadan dan menjalani ibadah puasa kepada umat Islam.

Hantaran Lee itu mendapat lebih 28,000 ‘like’ selain dikongsikan lebih 1,900 kali, dengan 800 komen di Facebook apabila netizen rata-rata memuji Lee kerana mengajar nilai-nilai murni kepada anaknya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/14/chong-wei-buka-mata-anaknya-mengenai-ramadan/

COMMENTS