Cadangan usul percaya PM dari Zahid beri signal Muhyiddin sudah perlu diganti

Cadangan usul percaya PM dari Zahid beri signal Muhyiddin sudah perlu diganti

Ucapan perbahasan Belanjawan 2021 di Parlimen oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk, Zahid Hamidi yang turut menyentuh tentang perlunya PN sendiri membawa usul percaya terhadap Perdana Menteri bagi mengelakkan kedudukan Muhyiddin Yassin terus dipertikaikan, jika diperhalusi adalah ibarat hentakan ke kepala terhadap jawatan Perdana Menteri itu sendiri.

Ini kerana usul percaya adalah sama maksudnya dengan usul undi tak percaya jika sokongan yang diperolehi kurang daripada 112 iaitu bermakna Perdana Menteri telah tidak mendapat kepercayaan atau sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen.

Apabila gagal mendapat kepercayaan majoriti bermakna Muhyiddin harus meletakkan jawatannya.

Menurut Zahid Hamidi yang merupakan Presiden UMNO, sama ada terdapat usul percaya atau sebaliknya, ia hendaklah diuji di dewan yang mulia ini.

“Jika ia tidak dapat dilakukan kerana kekangan peraturan mesyuarat, sesuatu mesti dipersesuaikan dengan urusan kerajaan perlu diutamakan.

“Biarlah kerajaan yang menjadikannya sebagai urusan kerajaan diutamakan menjadi usul undi percaya dibawa ke dewan yang mulia ini,” katanya.

Gesaan Zahid Hamidi itu mendapat sokongan sebilangan Ahli Parlimen blok kerajaan dan juga pembangkang yang merasakan ia memang sesuatu yang wajar dilakukan.

Dalam hal ini, sementara sama ada PN punya keberanian atau tidak menyahut gesaan Zahid Hamidi itu, persoalan yang lebih penting ialah ia juga menunjukkan ketidakyakinan BN terhadap keabsahan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Sesungguhnya, selagi keabsahan itu tidak dirungkai, selagi itulah kedudukan Muhyiddin jadi tidak menentu dan dipertikaikan di setiap sudut.

Dalam kehidupan, soal keabsahan adalah sesuatu yang amat penting, bahkan dalam nikah kahwin atau halalnya makan minum sekali pun, ia tidak pernah dikompromi dan perkara paling utama.

Maka, sudah tentu dalam soal jawatan Perdana Menteri, keabsahan itu jauh lebih penting lagi untuk ditentukan kesahihannya.

Dengan kedudukan sebagai Perdana Menteri, selagi keabsahan itu tidak dirungkai, ia turut meletakkan Muhyiddin sebagai seorang Perdana Menteri yang lemah dan sentiasa dipertikai.

Apatah lagi, sebagaimana yang ditunjukkan oleh Muhyiddin sendiri, beliau sentiasa cuba lari-lari daripada berdepan sebarang bentuk pengundian berkenaan kedudukannya di Parlimen.

Soalnya, sampai bila beliau mahu melarikan diri daripada berdepan realiti?

Walaupun gesaan Zahid Hamidi berkenaan usul percaya adalah sesuatu yang wajar dan relevan demi menzahirkan kepimpinan negara yang boleh diterima majoriti serta mengelakkan pertikaian yang berterusan, tapi belum tentu ia diterima dengan baik oleh PN, lebih-lebih lagi oleh Muhyiddin sendiri.

Maksudnya, jika gesaan Zahid Hamidi ini tidak dipedulikan oleh PN, kita akan terus mempunyai Perdana Menteri yang lemah, diragui dan tidak membawa kestabilan kepada negara sepanjang masa.

Apakah kita sanggup melihat negara ini tidak stabil, tiada ketentuan dan berkecamuk sepanjang masa?

Untuk itu, kalau gesaan Zahid Hamidi terus tidak dipedulikan oleh PN sebagai kerajaan, Ahli-Ahli Parlimen BN sebagai blok terbesar dalam kerajaan seharusnya terus berusaha mencari jalan bagi melahirkan seorang pemimpin yang benar-benar stabil yang dapat memimpin negara ini dengan lebih baik lagi.

Yang pasti, gesaan Zahid Hamidi berkaitan usul percaya ini adalah isyarat Perdana Menteri yang lemah dan terus dipertikaikan tidak diperlukan lagi untuk terus memimpin negara ini.

Ia sudah wajib diganti dan tempoh lapan bulan tanpa kestabilan adalah pembaziran masa yang sia-sia yang hanya menambah azab serta derita rakyat menanggungnya.

Jika bukan bermaksud perlunya diganti, untuk apa Zahid Hamidi menyarankan usul undi percaya, sedangkan risiko Muhyiddin tidak mendapat kepercayaan adalah juga tinggi?

Fahamkah Muhyiddin maksud sebenar Zahid Hamidi dan BN di sebalik gesaannya ini? (Shahbudindotcom 20/11/2020).

Sumber : https://shahbudindotcom.net/2020/11/20/usul-percaya-zahid-hamidi-jelas-bermaksud-muhyiddin-sudah-perlu-diganti.html

COMMENTS