Cacar Monyet sudah sampai ke Singapura, libatkan pelancong

Cacar Monyet sudah sampai ke Singapura, libatkan pelancong

Seorang individu yang disahkan dijangkiti cacar monyet melalui kawasan transit di Lapangan Terbang Changi pada 2 Jun lalu dalam perjalanannya ke Australia, lapor Kementerian Kesihatan (MOH).

Individu itu, yang berangkat dari Barcelona pada 1 Jun lalu untuk ke Australia, diuji positif bagi cacar monyet selepas tiba di Sydney keesokannya.

Berita Harian Singapura melaporkan, MOH dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Kementerian Kesihatan New South Wales, Australia, pada Sabtu lalu.

Cacar monyet ialah penyakit berjangkit yang biasanya dijangkiti daripada haiwan dan kes penyakit itu semakin meningkat di seluruh dunia.

Tanda-tanda penyakit itu biasanya termasuk demam panas dan ruam seperti cacar air yang bergelembung, yang memerlukan beberapa minggu untuk hilang.

Setakat ini, tiada kes cacar monyet tempatan dikesan di Singapura pada tahun ini.

MOH berkata individu berkenaan tidak keluar dari kawasan transit di Lapangan Terbang Changi sehingga berlepas ke Sydney pada hari yang sama dan tidak mengunjungi kawasan lain di lapangan terbang itu.

“Oleh sebab kes itu tidak memasuki Singapura atau berinteraksi dengan orang dalam masyarakat, tidak ada risiko besar penularan masyarakat buat masa ini.

“Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, kami melakukan penjejakan kontak bagi dua penerbangan yang terjejas dan mereka yang mungkin mempunyai kontak dengan pelancong itu di kawasan transit lapangan terbang,” kata MOH.

Tambah MOH, tidak ada individu yang dinilai mempunyai kontak rapat dengan pelancong itu, justeru tidak ada keperluan bagi kuarantin.

Seramai 13 orang yang mungkin mempunyai kontak biasa dengan pelancong itu sudah diletakkan di bawah pengawasan telefon selama 21 hari.

 

BACA JUGA :

Penularan cacar monyet merisaukan, sukar dibendung – WHO

Kecoh bila kanak-kanak Malaysia didakwa dijangkiti cacar monyet

Netizen tergelak tengok Amelia Handerson belajar ‘cakap’ Kelantan