‘Buat baik dibalas baik’, pemuda menangis dihadiahkan laptop, ini kebaikannya

‘Buat baik dibalas baik’, pemuda menangis dihadiahkan laptop, ini kebaikannya. Bagi membalas jasa, sekumpulan pemuda berusaha mengumpul wang bagi menghadiahkan komputer riba buat seorang daripada sahabat mereka yang melanjutkan pengajian ke menara gading.

Berkongsi kisah sebenar, Farhan Azman, 20 berkata, idea menghadiahkan komputer riba kepada Mohamad Nazrul Kamaruddin, 20, tercetus selepas mengetahui sahabatnya itu kehilangan dompet pada Khamis lalu.

Katanya, peranti elektronik itu juga diberi kerana sedar ia keperluan buat Mohamad Nazrul yang menyambung pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kuala Terengganu, Terengganu, hari ini.

“Kami berkawan sejak 2015 iaitu ketika di Tingkatan Satu lagi dan Alhamdulillah, persahabatan itu kekal sehingga kini.

“Mohamad Nazrul bukan datang daripada keluarga senang namun dia ada satu tabiat iaitu suka belanja kami makan senyap-senyap.

'Buat baik dibalas baik', pemuda menangis dihadiahkan laptop, ini kebaikannya

“Memandangkan dia dapat tawaran menyambung pengajian, jadi saya bersama 19 rakan lain bersepakat mengumpul wang bagi membeli komputer riba untuk dihadiahkan buatnya kerana dia tahu amat memerlukannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Bercerita lanjut, Farhan berkata, dia dan rakannya dapat mengumpul dana untuk membeli komputer riba itu kurang daripada tempoh 24 jam.

Katanya, perancangan mereka untuk memberi kejutan berjalan lancar malah tidak dapat ‘dihidu’ Mohamad Nazrul.

“Bagi membincangkan mengenai hadiah, kejutan dan kutipan duit, kami aktifkan kumpulan WhatsApp lain pada Khamis lalu, itu pun agak lewat.

“Keesokannya iaitu pada awal pagi Jumaat kira-kira jam 1.30 pagi, salah seorang daripada kami memindahkan wang RM1,000 dengan alasan mahu membalas jasa Mohamad Nazrul yang banyak membantunya.

“Selepas dicampur semuanya, jumlah kutipan menjadi RM1,600, jadi hari itu juga saya pergi ke kedai untuk meninjau harga komputer riba.

“Tujuh kedai juga saya pergi untuk tinjau harga dan akhirnya dapat beli sebuah komputer riba. Mujurlah dapat pada hari sama kerana waktu memang suntuk,” katanya yang menuntut dalam jurusan Percetakan Digital peringkat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Menurut Farhan, kejutan diberi ketika dia dan rakan lain berkumpul di satu kedai makan dengan Mohamad Nazrul.

“Dia (Mohamad Nazrul) memang tidak tahu dan terkejut apabila saya tiba-tiba datang membawa hadiah itu.

“Setengah jam juga dia menangis kerana terlalu sebak menerima hadiah itu.

“Diharap hadiah itu menggembirakannya dan memberi manfaat untuknya sepanjang pengajian di kampus,” katanya.

Rakaman video ketika membuat kejutan itu mendapat perhatian warganet selepas dimuat naik Farhan di TikTok.

Perkongsian yang meraih lebih sejuta tontonan itu meruntun hati warganet dengan rata-ratanya memuji usaha Farhan dan rakan dalam menggembirakan sahabat selain mendoakan persahabatan mereka berkekalan.

BACA:

Bomba tanggalkan cincin pada kemaluan, ini yang sebenarnya lelaki ini cuba lakukan

Misteri gadis cantik di temui dalam hutan ketika bayi, ini kisahnya sampai kecoh satu kampung

Jururawat sengaja suntik insulin pada bayi baru lahir didakwa