Beto Khusyairi harap tiada lagi yang bertanya soalan ini

Beto Khusyairi harap tiada lagi yang bertanya soalan ini.Pelakon, Beto Khusyairi mengaku sehingga ke hari ini dia dan isteri, Tisha Shahar tidak mampu lari dari dilemparkan dengan pertanyaan tentang zuriat.

Namun katanya, soalan berkenaan tidak datang dari keluarga terdekat kedua-dua belah pihak, sebaliknya yang jauh dan jarang-jarang berjumpa.

“Saya bersyukur, keluarga, baik pihak saya atau isteri, mereka tak kisah. Tak ada paksaan dan tak ada juga yang menyuruh lakukan rawatan itu dan ini.

“Kadang-kadang, saudara-saudara dan kawan-kawan jauh, yang jarang sekali kita jumpa inilah yang bertanyakan hal ini.

“Yang tolong jawab adalah orang tua kami berdua. Mereka tahu apa yang kami lalui. Jadi, mereka tak ada masalah,” katanya.

Beto Khusyairi harap tiada lagi yang bertanya soalan ini

Kata Beto, dia berpegang kepada takdir Allah SWT. Jelasnya, apa yang datang dariNya adalah yang terbaik.

“Saya betul-betul anggap ini rezeki dari Dia. Kalau belum diberi (zuriat) itu bermaksud ada sebabnya.

“Mungkin belum bersedia. Mungkin juga kalau ada, hubungan suami isteri itu jadi kurang seronok. Minta jauh perkara ini.

“Jadi, saya percaya pada takdir yang ditentukan Allah SWT. Apa yang dia bagi adalah yang terbaik untuk saya. Saya dan isteri tak ada masalah, apatah lagi ahli keluarga kami yang terdekat,” katanya lagi.

Dalam pada itu, pelakon filem Mat Kilau ini juga menegaskan dia dan isteri bahagia menjalani kehidupan berdua. Pada masa yang sama, dia juga berharap soal zuriat tidak lagi dipertanyakan kepadanya.

“Kami tak pernah letak sasaran, bila dan bila untuk dapat anak. Kami enjoy kehidupan, berdua.

“Pada kami, zuriat bukan satu isu. Kami berdua okey sahaja. Harap tak ada lagi yang bertanyakan soalan ini selepas ini,” katanya berseloroh.

BACA:

Mufti Perlis kena saman fitnah berjumlah RM2 juta

Raih RM3,000 sehari jual Musang King, peniaga wanita ini luah rasa terkejut

Bayar hutang RM20k dalam tempoh 2 bulan, wanita ini kongsi 3 tips mudah