Bentuk kerajaan dengan Najib? Pergi jahanam – Ahli parlimen DAP

Bentuk kerajaan dengan Najib? Pergi jahanam – Ahli parlimen DAP

Setiausaha Publisti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata ada sesetengah orang yang tidak berprinsip mungkin kemaruk kuasa sehingga sanggup mendapatkan sokongan Najib Razak untuk membentuk kerajaan baru.

Namun katanya rancangan menubuhkan kerajaan bersama sokongan bekas perdana menteri itu adalah sesuatu kerja yang “benar-benar gila”.

“Absolutely nuts (benar-benar gila). […] Saya tidak akan sekali-kali menyokong kerajaan sebegitu,” katanya dalam satu hantaran di media sosial malam ini.

Mengiringi kenyataan itu ialah laporan berita Malaysiakini mengenai cadangan Najib – yang terpalit dengan skandal 1MDB dan sedang dibicarakan di mahkamah – agar BN menyokong Presiden PKR, Anwar Ibrahim menggantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri.

Cadangan itu disuarakan Najib dalam pertemuan antara ahli parlimen BN di Kuala Lumpur petang tadi. Bagaimanapun kebanyakan daripada mereka tidak senang dengan cadangan itu.

Sikap sebahagian besar ahli parlimen BN dikatakan menolak sebarang kerjasama dengan Anwar dan DAP.

Untuk rekod, Anwar kini merupakan pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai Amanah dan DAP.

Pua berkata alasan mudah untuk sikap tersebut ialah Najib merupakan “penyangak” terbesar di negara ini dan mengaibkan rakyat Malaysia di seluruh dunia.

Najib juga, kata Pua, menyebabkan rakyat menanggung beban hutang bernilai berpuluh-puluh bilion ringgit.

Pun begitu kata ahli parlimen Damansara itu Najib tidak menunjukkan sebarang rasa kesal, menyatakan rasa bersalah malah tergamak mendakwa wang yang dimasukkan ke akaun peribadinya digunakan untuk orang miskin anak yatim.

“Kerajaan yang bergantung kepada sokongan Najib boleh pergi jahanam. Kita sudah melihat hal itu berlaku pada pengkhianat dalam Perikatan Nasional,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/548210

COMMENTS