Belanjawan : MP BN masih tidak nyatakan pendirian sokong atau tolak, tunggu esok

Belanjawan : MP BN masih tidak nyatakan pendirian sokong atau tolak, tunggu esok

Sesi pengundian Belanjawan 2021 pada Khamis menimbulkan persoalan sama ada ia akan diluluskan atau sebaliknya, kata Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar.
Menurutnya belum pernah berlaku belanjawan tidak diluluskan selepas dibentang dan dibahaskan.

Beliau menjelaskan banyak perkara yang membuatkan Belanjawan 2021, yang juga belanjawan pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN), sukar diramal akan diluluskan atau tidak.

Noh berpendapat kedudukan parti yang tidak menguasai kerajaan membuatkan ahli-ahli Parlimen kerajaan bebas menentukan sama ada menyokong atau tidak.

“Bila kerajaan ini ditubuhkan, kita buat kenyataan bahawa kerajaan Perikatan Nasional adalah gabungan ahli-ahli Parlimen yang mana ia tidak mewakili parti.

“Jadi sebab itu hari ini bila kata parti menguasai kerajaan tidak tepat.

“Maka bila parti tidak menguasai kerajaan, maka ahli-ahli Parlimen mempunyai pandangan tersendiri; bila ada pandangan sendiri itu yang sukar,” katanya dalam satu temu bual bersama Astro AWANI.

Menjawab sama ada akan menyokong atau tidak belanjawan 2021, Noh menjelaskan ramai anggota Dewan Rakyat dari UMNO mengambil sikap tunggu dan lihat.

Ini kerana, mereka perlu melihat apakah menteri-menteri terutama Menteri Kewangan akan memberikan sesuatu yang dimahukan oleh rakyat.

“Kalau kita dengar esok jawapan Menteri Kewangan itu boleh menyakinkan kita dan boleh memberikan kebaikan kepada rakyat, kenapa tidak kita sokong.

“Tetapi kalau kita dengar jawapan-jawapan menteri yang mana tidak seperti yang rakyat mahu, kalau kita sokong nanti rakyat marah kita pula. Jadi (kita) wait and see,” katanya lagi.

Noh menjelaskan apa yang disuarakan oleh ahli-ahli Parlimen UMNO ketika perbahasan Belanjawan 2021 merupakan suara hati rakyat yang perlu diambil kira oleh kerajaan.

Beliau menjelaskan kerajaan tidak boleh mengambil mudah ahli-ahli Parlimen pembangkang kerana ada di antara mereka pernah menjadi anggota Kabinet ketika Pakatan Harapan membentuk kerajaan.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-politik/belanjawan-2021-sokong-atau-tidak-kita-dengar-esok-jawapan-menteri-kewangan-noh-omar-270024

COMMENTS