Bekas tentera rogol, liwat anak perempuan dipenjara 24 tahun

Bekas tentera rogol, liwat anak perempuan dipenjara 24 tahun

Bekas tentera rogol, liwat anak perempuan dipenjara 24 tahun.Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan seorang bekas tentera yang didapati bersalah merogol dan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap anak kandungnya lima tahun lepas menjalani hukuman penjara selama 24 tahun berkuat kuasa hari ini.

Ini bermakna lelaki berusia 45 tahun itu terpaksa merengkok lebih lama dalam penjara selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara memerintahkan hukuman penjara 18 tahun dan enam tahun yang diputuskan berjalan secara serentak oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum ini, berjalan secara berasingan.

Perayu yang menghadapi dua pertuduhan, perlu menjalani hukuman penjara 18 tahun terlebih dahulu dan apabila selesai hukuman itu, dia akan menjalani hukuman penjara enam tahun lagi, menjadikan jumlah penjara adalah 24 tahun.

Sebelum ini bekas tentera berpangkat sarjan itu dijatuhi hukuman penjara 18 tahun dan 10 sebatan serta enam tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 27 Nov 2018 selepas didapati bersalah merogol anak perempuannya yang ketika itu berusia 17 tahun.

Mahkamah Sesyen bagaimanapun memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak iaitu 18 tahun dengan 15 sebatan dan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 21 Jun 2020 mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Bekas

Hakim Abdul Karim dalam penghakimannya berkata Hakim Mahkamah Sesyen dan Hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila memutuskan hukuman penjara terhadap lelaki itu berjalan secara serentak.

“Kes rogol dan liwat adalah berbeza dan hukuman sepatutnya berjalan secara berturutan. Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman penjara secara serentak yang diputuskan oleh kedua-dua mahkamah berkenaan,” kata Hakim Abdul Karim selepas membenarkan rayuan silang oleh pihak pendakwaan terhadap hukuman penjara 18 tahun ke atas lelaki tersebut.

Bagaimanapun, Hakim Abdul Karim, yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Lee Heng Cheong menolak rayuan lelaki itu terhadap sabitan dan hukuman selepas mendapati rayuan perayu tidak mempunyai merit.

“Kedua-dua hakim Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi tidak melakukan apa-apa kesilapan dari segi undang-undang dan fakta untuk mewajarkan mahkamah ini campur tangan terhadap dapatan kedua-dua mahkamah itu. Oleh itu, rayuan perayu ditolak dan dapatan Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan,” kata Hakim Abdul Karim.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah rumah di Taman Desa Tebrau, Johor Bahru pada 2.30 pagi, pada 15 Mac 2016.

Bagi kesalahan merogol, dia didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan manakala bagi pendakwaan bagi kesalahan persetubuhan di luar tabii dikemukakan mengikut Seksyen 377 (B) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee manakala peguam Noordin Hussin mewakili lelaki berkenaan.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/bekas-tentera-dipenjara-24-tahun-rogol-liwat-anak-perempuan-319742

COMMENTS