Bekas Ahli Parlimen Kemaman Abd Rahman Yusof meninggal dunia

Bekas Ahli Parlimen Kemaman  Abd Rahman Yusof  meninggal dunia

Bekas Ahli Parlimen Kemaman, Abd Rahman Yusof meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada Isnin.

Abd Rahman yang merupakan bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.06 malam selepas enam bulan bertarung dengan penyakit kanser paru-paru tahap empat.

Adiknya, Norhusni berkata, mereka sekeluarga dimaklumkan pemergian Abd Rahman oleh anaknya yang berada di hospital bersama arwah.

“Kepada mereka yang mengenali Allahyarham, mohon maafkan segala salah silapnya, halalkan makan minumnya dan jika ada hutang boleh hubungi kami warisnya,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Norhusni, jenazah Abd Rahman akan dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara kira-kira jam 10 pagi Selasa.

Allahyarham yang juga bekas Ketua Setiausaha Politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan isteri, Armila Alias dan 10 orang anak.

Abd Rahman memenangi kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wan Zaki Wan Muda dengan 20,715 undi.

Allahyarham pernah bertanding di kerusi Parlimen Dungun pada PRU lalu namun tewas dengan 6,833 undi.

Berita  Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/142932/BERITA/Semasa/Bekas-Ahli-Parlimen-Kemaman-meninggal-dunia

COMMENTS