Banduan berjaya lolos dari penjara di Kelantan

Banduan berjaya lolos dari penjara di Kelantan

Polis memburu seorang lelaki yang melarikan diri dari Penjara Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, polis menerima panggilan daripada penjara yang memaklumkan banduan lelaki melarikan diri pada jam 10.13 pagi.

Katanya, suspek dikenali sebagai Mohamad Soolleh Mohd Noor, 31, dari Kampung Delima, Wakaf Bharu.

“Suspek adalah banduan tahanan reman bicara bagi kes di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang ditahan di Penjara Pengkalan Chepa sejak 22 Mac lalu.

“Dalam masa sama, suspek mempunyai beberapa rekod kesalahan lampau berkaitan dengan jenayah dan dadah,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, suspek disedari melarikan diri semasa proses pembuangan sampah dan dipercayai memanjat pagar di menara penjara.

“Polis dengan bantuan semua bahagian termasuk pihak penjara sedang menjalankan pencarian suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223 dan Seksyen 224 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan kepada polis atau menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Berita Penuh :https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/03/688543/polis-buru-banduan-lolos

COMMENTS