Bahaya apabila agama Islam ditukar jadi ideologi

Bahaya apabila agama Islam ditukar jadi ideologi. Antara isu besar yang timbul (termasuklah di negara kita) selepas munculnya gerakan-gerakan Islam, ialah isu ‘agama Islam ditukar menjadi ideologi’.

Ini isu besar pada saya.
Malangnya, di negara kita khususnya, isu ini seakan tiada siapa yang menyedari akan kewujudannya.
Hal ini kerana negara kita tiada pakar dalam bidang gerakan Islam, yang memahami secara mendalam selok belok gerakan Islam, latar belakang sejarah dan pemikirannya.

Justeru, sekali lagi saya menyeru anak-anak muda yang cerdas minda, yang berlatarbelakangkan pengajian Islam, agar menjadikan gerakan Islam sebagai bidang kajian dan pengkhususan.

Isu ‘penukaran agama Islam menjadi ideologi’, yang dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam ini, saya sendiri pun baru tahu setahun atau dua tahun lepas.
Iaitu selepas membaca buku yang membedah pemikiran gerakan Islam yang ditulis oleh Dr Jasim Sultan, mantan pemimpin Ikhwanul Muslimin (IM) Qatar dan mantan ahli IM Antarabangsa.
Judulnya, أزمة التنظيمات الإسلامية : الإخوان نموذجا. Buku ini pada saya, buku terbaik dalam kategori ‘buku kritikan ke atas gerakan Islam’ atau ‘buku yang membedah pemikiran gerakan Islam’.

Bahaya apabila agama Islam ditukar jadi ideologi

ii)
Penukaran agama Islam menjadi ideologi, kesannya sangat buruk.
Akibatnya, Islam yang luas menjadi sempit. Asalnya, Islam ini merangkumi seluruh manusia yang mengucap dua kalimah syahadah, dan mengimani serta mengamalkan rukun iman dan rukun Islam.

Tapi, apabila Islam ini ditukar menjadi ideologi, ucapan dua kalimah syahadah dan pengamalan rukun iman dan rukun Islam, masih belum cukup untuk menjadikan seseorang itu muslim yang sempurna keislamannya.
Serta, masih belum cukup untuk melayakkannya mendapat hak-hak ukhuwwah islamiyyah seperti dikasihi, dicintai dan dimesrai.
Sebaliknya, perlu satu lagi syarat, iaitu mestilah menganggotai parti Islam atau organisasi Islam tertentu, atau mengimani dan menyokong perjuangannya. Barulah dianggap sempurna Islamnya, dan barulah berhak untuk mendapat hak-hak ukhuwwah islamiyyah.

Banyak lagi kesan buruk tercetus ekoran Islam dijadikan ideologi. Kerana Islam – menurut sesetengah pemikir – sepatutnya diletakkan dalam bidang Ontologi (cabang ilmu falsafah atau metafizik yang berkaitan dengan fitrah makhluk – manusia), bukannya dalam bidang Ideologi.

Bila dipindahkan Islam bukan ke bidang asalnya, maka tercetuslah kesan-kesan buruk.

iii)
Apa itu ideologi dan apa perbezaannya dengan agama?
Ringkasnya, ideologi ialah “satu system pemikiran yang saling menyempurna dan saling meneguh antara satu sama lain…
yang dianuti oleh sesebuah parti atau organisasi…
yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan manusia…
yang menggariskan cara bertindak dalam segala soal kehidupan…
dan dalam masa yang sama bercita-cita agar ia tersebar dan mengubah dunia melalui prinsip-prinsipnya”.

Untuk lebih jelas, boleh dirujuk buku Dr Jasim yang dinyatakan di atas, pada tajuk “Bagaimana Ideologi Dicipta” di muka surat 133-139.

Wallahu a’lam.

BACA:

Pemain bola tampar dedah apa berlaku setelah ditampar coach, mengejutkan

Akhirnya punca Cheng Wen tinggalkan BAM terbongkar