Anwar terus terima kunjungan hormat daripada pemimpin negara serantau

Anwar terus terima kunjungan hormat daripada pemimpin negara serantau. Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini, menerima kunjungan hormat Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan di kediaman rasminya di Seri Perdana, di sini.

Lawatan khas Prawit ke Malaysia itu, diiringi Timbalan Menteri Pertahanan Thailand Jen Chaichan Changmongkol.

Ketibaan Prawit dan delegasinya di Seri Perdana kira-kira 12 tengah hari itu, disambut Anwar bersama Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Sejurus tiba, Anwar dan Prawit mengadakan perbincangan selama hampir dua jam, yang antara lain menyentuh mengenai insiden letupan bom mengakibatkan sebuah kereta api barang yang dalam perjalanan dari Hatyai ke Padang Besar tergelincir, pada 6 Disember lalu.

Usai perbincangan terbabit, Anwar meraikan Prawit dan delegasinya dalam majlis makan tengah hari sebelum Timbalan Perdana Menteri Thailand itu berlepas pulang ke Thailand petang ini.

Anwar terus terima kunjungan hormat daripada pemimpin negara serantau

Prawit dan delegasinya tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang pada 11 pagi tadi bagi sesi lawatan khas sehari ke Malaysia.

Kunjungan yang antara lain bertujuan memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara serta bertukar pandangan dan perkongsian maklumat bagi kebaikan serantau itu, adalah kunjungan kedua Prawit ke Malaysia sejak pintu sempadan negara dibuka semula pada April lalu.

Kali pertama Prawit ke negara ini pada Mei lalu bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am Ke-55 antara Malaysia dan Thailand di Kuala Lumpur.

Malaysia dan Thailand telah menjalin hubungan diplomatik selama 65 tahun sejak Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957.

Thailand adalah rakan dagang keenam terbesar bagi Malaysia di dunia dan kedua terbesar di rantau Asean, manakala Malaysia kekal sebagai rakan dagang keempat terbesar bagi Thailand di dunia.

BACA:

Ramai mendoakan rawatan IVF Achey, isteri berjaya

Tiada wakil soalan lisan dibenarkan untuk Adun tidak hadir – Speaker Johor

Minyak dan gas ditemui Petronas Carigali di blok Sk306, luar pantai Sarawak