Annuar Musa dedah terima pelawaan bertalu-talu dari Pas

Annuar Musa dedah terima pelawaan bertalu-talu dari Pas. “Baru cerai tiga hari, dah ada masuk meminang.” Itu reaksi berseloroh bekas Ketua UMNO Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa terhadap pelawaan jemputan kenduri dan berceramah di majlis Pas di dua daerah di negeri ini pada Sabtu.

Annuar mengakui menerima jemputan ke majlis kesyukuran kemenangan Pas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Tumpat dan Kota Bharu, namun menolak pelawaan itu secara baik.

“Saya jawab terus, nanti dulu, baru cerai tiga hari masuk meminang dah.

“Di TikTok, Muslimat Pas Melaka kata kalau rumah tu terbakar datanglah tinggal rumahnya walaupun tak besar dan tak mewah sangat.

“Perhubungan Pas telefon jemput jamuan sembelih lembu dan ceramah di Tumpat, tetapi nanti dulu, biar lepas edah.

Annuar Musa dedah terima pelawaan bertalu-talu dari Pas

“Kalau suami mati pun ada tempohnya, jangan gelojoh,” katanya pada Perjumpaan Khas Ketua-ketua Cawangan UMNO Parlimen Ketereh bersama Annuar di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Ketereh di Padang Kala, Peringat di sini, pada Sabtu.

Pada Khamis, Annuar bersama dua lagi ahli UMNO dilucutkan keahlian iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Arau, Datuk Seri Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran, Datin Seri Fatimah Kassim.

Annuar mengakui beliau adalah pejuang dalam parti dan pemecatan itu tidak sesekali menggugat dirinya daripada terus bersemangat dalam berpolitik.

“Bukan ahli sekalipun masih lagi boleh sokong UMNO. Saya bukan jenis yang lari ikut suka dan tambah perpecahan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan Kompleks Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) yang menempatkan Pusat Khidmat Parlimen Ketereh itu akan ditukarkan kepada Pusat Khidmat Muafakat Nasional (MN) Kelantan selepas pelancaran dijangka pada Khamis ini.

“Pusat Khidmat MN negeri ini akan fokus terhadap kegiatan kebajikan dan perkhidmatan kepada masyarakat.

“Projek seperti masjid yang dalam pembinaan di kawasan ini pula akan diteruskan,” katanya.

BACA:

Lapan bulan baru tahu dirinya hamil

Ramai lebih jual emas berbanding beli walaupun harga murah

Neelofa terlentok di paha suami, netizen perasan sesuatu