Angkara pengkhianat kini Umno berjaya jadi “king maker”

Angkara pengkhianat kini Umno berjaya jadi “king maker”

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad menyifatkan pengkhianatan dua pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini menjadikan Umno kembali menjadi penentu politik.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno pada masa ini memutuskan pengganti Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“Umno kembali releven, menjadi ‘kingmaker’. Rakyat Malaysia terpaksa menunggu secara berdebar-debar mesyuarat MT Umno yang akan memutuskan siapa Umno akan jadikan PM.

“Dan syarat syarat yang Umno akan tetapkan untuk mendapat ‘yang terbaik’ bagi Umno. Sebelum ini Umno hampir pupus,” katanya di Twitter hari ini.

Khalid yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berpendapat kehendak dan pilihan rakyat melalui PRU14 akhirnya dibakul-sampahkan.

“Politik Malaysia menjadi mainan 222 orang MP yang dicaturkan mengikut kehendak pemimpin mereka.

“Inilah politik legasi pengkhianat iaitu MY dan AA. Dua orang ini telah kembalikan kuasa geng kleptokrat,” katanya dengan hanya menggunakan singkatan bagi dua nama pengkhianat itu.

Dipercayai MY merujuk Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala AA ialah bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyertai Bersatu pada 22 Ogos lalu.

Kedudukan Muhyiddin sekarang sebagai Perdana Menteri masih tanda tanya susulan pendirian Umno untuk mempertimbangkan kembali sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno, Datuk Ahmad Maslan menegaskan Umno-BN mempunyai paling banyak kerusi daripada jumlah 113 kerusi Parlimen yang membentuk kerajaan.

Sumber : https://malaysiareaders.com/khalid-anggap-umno-kini-king-maker-selepas-onar-pengkhianat/

COMMENTS