Angka-angka kes baru Covid-19 merisaukan orang ramai

Angka-angka kes baru Covid-19 merisaukan orang ramai

Pengerusi Pusat Hak Asasi Manusia, Sherzali Asli berkata, usaha menangani jangkitan Covid-19 yang semakin meningkat di negeri ini lebih penting berbanding mengumumkan peruntukan bantuan kewangan kepada rakyat.

Katanya, beliau bagaimanapun sangat bersetuju sekiranya kerajaan negeri mengumumkan pakej bantuan bagi membantu rakyat yang terjejas berikutan penularan wabak itu, terutama selepas perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh negeri.

”Ya sudah pastinya saya 110% bersetuju (bantuan kewangan oleh kerajaan), namun secara logiknya, langkah perlu dilakukan kerajaan ketika ini adalah mengurangkan angka kes baru Covid-19 yang dilihat semakin meningkat.

”Ini kerana jika kerajaan tidak melakukan sesuatu yang drastik bagi mengurangkan penularan Covid-19, ia hanya akan menambah kerisauan rakyat. Justeru kerajaan harus tangani kenaikan mendadak (Covid-19) ini, baru fikir pasal duit (bantuan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melaksanakan program bantuan makanan kepada penduduk di taman perumahan PPR Kibabaig dekat sini, hari ini.

Sherzali berkata, kerajaan persekutuan juga perlu melanjutkan moratorium pinjaman secara automatik untuk sekurang-kurangnya sehingga penghujung tahun ini.

”Sudah pasti ramai yang terkesan akibat pandemik ini, ada yang hilang pekerjaan dan ada yang gaji dikurangkan sehingga membebankan mereka untuk membayar pinjaman setiap bulan.

”Lanjutan (moratorium) dapat membantu rakyat, sama ada pekerja atau majikan, khususnya ketika kita sedang berdepan dengan ancaman covid-19 yang bukan saja mampu menjejaskan kesihatan, tetapi juga ekonomi di setiap peringkat,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata, program bantuan makanan yang diadakan itu adalah anjuran Pusat Hak Asasi Manusia Sabah dengan kerjasama Sabah Law Society iaitu sebuah jawatankuasa kecil dalam pertubuhan berkenaan.

”Program ini telah beberapa kali diadakan dan ia bermula sejak PKP dilaksanakan pada Mac lalu.

”Selain bantuan makanan, sebagai peguam, saya juga memberi khidmat nasihat kepada penduduk terjejas seperti menerangkan kepada mereka cara untuk mendapatkan bantuan kerajaan, bagaimana saluran yang betul untuk mendapatkannya,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/10/18/fokus-tangani-covid-19-pakej-bantuan-perkara-ke-2-kata-ngo/

COMMENTS